Pertemuan mesra PM dan Tun M di Tokyo | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertemuan mesra PM dan Tun M di Tokyo

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Majlis Makan Malam Persidangan Nikkei di Tokyo, malam tadi
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mei - Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada Majlis Makan Malam Persidangan Nikkei di Tokyo, malam tadi.

 

Perdana Menteri turut bertanya khabar tentang keadaan Dr. Mahathir pada pertemuan itu.

 

"Sempat bertemu dan bertanya khabar keadaan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa Majlis Makan Malam Persidangan Nikkei di Tokyo malam tadi.

 

"Kami berdua telah dijemput untuk menyampaikan ucaptama pada Persidangan Nikkei ke-27 yang bermula semalam," katanya.

 

Beliau berkata, Dr Mahathir akan menyampaikan ucaptama pada persidangan itu pada pagi ini.

 

"Saya telah menyampaikan ucaptama pada pagi semalam," kata Ismail Sabri.

 

Dihoskan Nikkei Inc setiap tahun sejak 1995, persidangan tersebut menghimpunkan pemimpin-pemimpin kerajaan dan tokoh-tokoh perniagaan bagi berkongsi visi untuk masa depan Asia.

 

Ismail Sabri kini dalam lawatan kerja rasmi selama enam hari di Jepun. Ia merupakan lawatan pertama beliau ke Jepun selepas dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia pada 21 Ogos 2021.

 

Beliau dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Fumio Kishida. - DagangNews.com