KUALA LUMPUR 25 Julai - Pertandingan teknologi terulung, Malaysia Techlympics 2023 kini meraih sebanyak sejuta pendaftaran menerusi pelbagai program anjurannya tahun ini.
Malaysia Techlympics memaklumkan, pertandingan itu mengetengahkan enam kategori yang dibahagikan kepada 39 pertandingan merangkumi pelbagai pertandingan.
Katanya, ia berteraskan teknologi sohor seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), dron, pengekodan dan robotik yang akan dipertandingkan di peringkat negeri, zon dan kebangsaan.
"Ia merupakan inisiatif Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam usaha memupuk minat generasi muda terhadap Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) melalui pendekatan pertandingan yang lebih menyeronokkan, membudayakan belia dengan minda kritikal, set kemahiran dan inovasi yang lebih bermakna serta berimpak tinggi," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, pelancaran Malaysia Techlympics yang berlangsung baru-baru ini, seiring dengan majlis perasmian Karnival Minggu Sains Negara Kedah yang disempurnakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang di Dewan CRC, Kulim, Kedah.
Menurut kenyataan itu, penganjuran karnival di setiap negeri untuk meraikan kepelbagaian dengan memberi peluang kepada penggerak dan pengamal Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) tempatan mengetengahkan teknologi dan inovasi mereka yang tersendiri kepada umum, khususnya kepada anak negeri ini.
"Program Minggu Sains Negara (MSN) pada tahun ini merupakan penganjuran tahun ke-6, bertujuan membudayakan STI dalam kehidupan rakyat Malaysia.

"Justeru untuk tahun ini, MOSTI melaksanakan program MSN di seluruh negara melalui penganjuran karnival serta dalam talian bagi menarik minat dan penyertaan masyarakat setempat," katanya.
Pada majlis berkenaan, Chang turut merasmikan Metaverse Malaysia Techlympics. Pembangunan platform metaverse Malaysia Techlympics ini dilaksanakan dengan kerjasama EZ Cute Robots, Redbrick dan Alibaba Cloud menerusi nilai tajaan sebanyak AS$200,000.
Program yang berlangsung selama dua hari ini mendapat sambutan hebat dengan lebih 6,000 pengunjung hadir termasuk tetamu jemputan, pelajar sekolah dan penduduk setempat.

Pendaftaran Malaysia Techlympics masih dibuka sehingga 30 Julai 2023 bagi Zon Utara dan Sabah, 15 Ogos 2023 bagi Zon Tengah dan Sarawak, 31 Ogos bagi Zon Timur dan Selatan. Ia terbuka kepada pelajar dan belia berumur tujuh hingga 30 tahun.
Rakan usahasama, pelajar dan belia dijemput menyertai Malaysia Techlympics dengan mendaftar melalui laman web https://home.techlympics.my/. Untuk maklumat terkini, ikuti laman sosial @mytechlympics. - DagangNews.com








