Persidangan Antarabangsa Inovasi Kejuruteraan Kimia dan Teknologi 2023 anjuran UPM fokus peranan teknologi hijau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persidangan Antarabangsa Inovasi Kejuruteraan Kimia dan Teknologi 2023 anjuran UPM fokus peranan teknologi hijau

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Jabatan Kejuruteraan Kimia dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia (UPM) menghimpunkan pakar dan saintis dalam bidang kejureteraan, teknologi dan inovasi pada Persidangan Antarabangsa Ke-2 Inovasi dalam Kejuruteraan Kimia & Teknologi (ICICET2023).

 

Persidangan selama dua hari itu memfokuskan peranan teknologi hijau yang boleh diperbaharui dalam mengatasi perubahan iklim dan cabaran kelestarian dengan tema 'Teknologi Hijau dan Revolosi Industri Menuju Kelestarian'.

 

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr Mohd Nor Azman Hassan berkata, teknologi hijau dan revolosi industri menuju kelestarian adalah cabaran yang dihadapi masyarakat antaranya pencemaran alam sekitar dan kekurangan sumber asli. 

 

"Usaha kita bukan sekadar untuk kegunaan akademik, ia adalah pelan persediaan bagi mengatasi masalah mendatang untuk membincangkan bersama-sama pakar dan saintis dalam bidang masing-masing bagi mengatasi isu global," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Persidangan itu turut mengumpulkan semua pemikir yang diterapkan oleh UPM selaras dengan inisiatif strategik yang memberi komitmen kepada universiti terhadap bidang kelestarian, inovasi, dan kerjasama lintas disiplin.

 

Sementara itu, Pengarah ICICET2023, Prof Madya Dr Tinia Idaty Mohd Ghazi berkata, persidangan ini merangkumi pelbagai topik kontemporari, termasuk kejuruteraan alam sekitar, kejuruteraan biokimia, sains bahan, keselamatan proses, dan proses lestari.

 

 

upm

 

 

"Justeru, masyarakat dunia kini menghadapi dua cabaran utama, iaitu isu perubahan iklim dan keselamatan tenaga. Kedua-dua isu ini harus ditangani secara kolektif dan efektif.

 

"Teknologi hijau turut membantu pembangunan masyarakat berilmu yang mendorong ke arah mempraktikkan tenaga lestari dan cara hidup lebih baik. Kita boleh hidup lebih lestari jika kita menjadi seorang yang lebih celik alam sekitar, belajar daripada alam semula jadi, hidup dengan lebih sederhana dan menjadi rakyat yang aktif dalam membangunkan alam sekitar.

 

"Teknologi hijau adalah pembangunan dan aplikasi produk, peralatan serta sistem untuk memulihara alam sekitar dan sumber semula jadi, dan meminimumkan kesan negatif daripada aktiviti manusia," katanya.

 

Seramai 42 pakar dan saintis menyertai persidangan ini dengan berkongsikan kepakaran mereka dalam bidang ini dari dalam negara dan luar negara. - DagangNews.com