Persatuan Hotel, Restoran dan Kafe Kuantan cadang KKM beri tumpuan banteras rokok seludup | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan Hotel, Restoran dan Kafe Kuantan cadang KKM beri tumpuan banteras rokok seludup

Gambar hiasan
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Julai - Kerajaan harus memberi fokus kepada usaha membanteras rokok seludup dan bukannya memperkenalkan dasar tembakau baharu seperti melarang penjualan rokok dan produk vape untuk generasi akan datang, menurut Persatuan Hotel, Restoran dan Kafe Kuantan.

 

Kementerian Kesihatan (KKM) baru-baru ini mencadangkan supaya produk rokok tidak dipamerkan di premis jualan, pelaksanaan pembungkusan standard pada produk rokok dan larangan penjualan rokok dan vape untuk individu yang dilahirkan selepas 2005.

 

Presiden Persatuan Hotel, Restoran dan Kafe Kuantan, Hung Pang Jum berkata, walaupun kementerian ingin mengurangkan bilangan orang merokok atau menggunakan produk vape, tumpuan yang diberikan adalah salah. 

 

"Jika kerajaan boleh menghentikan penyeludupan rokok dengan memutuskan bekalan produk ini, ia benar-benar dapat membantu mengurangkan bilangan orang yang menghisap produk seludup.

 

“Selain itu, tidak ada pertimbangan yang dibuat mengenai kesan negatif kepada ekonomi negara dan perniagaan yang sah seperti kami.

 

“Cadangan ini sudah pasti akan menyebabkan pasaran rokok seludup terus berkembang. Sebaliknya, mereka akan terus menghisap produk seludup dan sumber pendapatan kami daripada produk yang sah akan terus menyusut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Hung Pang Jum menegaskan, kos pematuhan larangan mempamer rokok akan jatuh ke atas pemilik perniagaan.

 

 

rokok
Hung Pang Jum

 

 

“Perniagaan kami telah mengalami kerugian besar sejak COVID-19, kekurangan tenaga kerja yang kronik dan peningkatan kos bahan ekoran krisis pendapatan akibat inflasi. Perniagaan kami mempunyai banyak isu untuk ditangani dan kami tidak mampu mengeluarkan kos untuk mematuhi cadangan baharu itu," katanya.

 

Hung Pang Jum juga bimbang tentang kerumitan untuk menguatkuasakan larangan ini. 

 

“Polisi ini tidak akan berkesan dan tidak akan mampu menghalang pelanggan daripada merokok. Sebaliknya, ia bakal mewujudkan lebih banyak kerumitan untuk perniagaan,” katanya.

 

Persatuan Hotel, Restoran dan Kafe Kuantan mencadangkan kerajaan harus mengadakan lebih banyak rundingan dengan pelbagai pihak mengenai cadangan yang lebih realistik bagi membantu mengurangkan bilangan perokok di Malaysia terutamanya termasuk membanteras pasaran rokok seludup. - DagangNews.com