Permintaan hartanah dijangka beransur pulih disokong pengekalan OPR pada 3% – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan hartanah dijangka beransur pulih disokong pengekalan OPR pada 3% – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Sept - MIDF Research kekal ‘neutral’ dengan berat sebelah positif pada sektor hartanah berikutan jangkaan permintaan hartanah terus pulih secara beransur-ansur, disokong pengekalan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3% oleh Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Memetik data BNM, firma penyelidikan itu berkata permohonan pinjaman untuk pembelian hartanah pulih sedikit 2.7% bulan ke bulan (mom) kepada RM51.8 bilion pada Julai 2023, selepas penurunan 11%mom pada Jun 2023.

 

“Kami berpendapat bahawa pemulihan kecil permohonan pinjaman mungkin disebabkan kenaikan kadar oleh BNM berhenti seketika pada Julai 2023.

 

“Secara kumulatif, jumlah permohonan pinjaman pada tujuh bulan pertama tahun ini (7M23) berjumlah RM348.8 bilion, meningkat 0.9% tahun ke tahun. Jumlah penggunaan yang lebih tinggi sedikit menunjukkan permintaan yang sihat untuk hartanah,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, pinjaman pembelian hartanah yang diluluskan terus menurun 4.2%mom pada Julai 2023 kepada RM23.1 bilion selepas penurunan 5.6%mom pada Jun 2023, disebabkan terutamanya oleh peratusan jumlah pinjaman yang diluluskan lebih rendah berbanding jumlah permohonan pinjaman 44.6% pada Julai 2023 berbanding 47.8% bulan sebelumnya.

 

“Jumlah pinjaman yang diluluskan yang lebih tinggi menunjukkan prospek jualan baharu yang lebih baik untuk pemaju hartanah,” ulas MIDF Research.

 

Di samping itu, firma itu berkata pendedahan syarikat hartanah kepada pembangunan perindustrian telah meningkat didorong permintaan untuk hartanah perindustrian, iaitu SP Setia Bhd, Eco World Development Group Bhd, IOI Properties Group Bhd, Sunway Bhd dan Mah Sing Group Bhd, yang telah membeli tanah bagi tujuan tersebut.

 

“Secara keseluruhan, kami melihat sumbangan semakin meningkat daripada pembangunan perindustrian kepada syarikat hartanah dalam jangka masa terdekat, berdasarkan permintaan kukuh untuk aset perindustrian,” tambahnya.

 

Pilihan utama MIDF Research untuk sektor hartanah adalah Mah Sing (beli, harga sasaran [TP]: 90 sen sesaham) dan Matrix Concepts (beli, TP: RM1.81 sesaham).

 

Jelasnya, ia kekal yakin terhadap pemaju hartanah yang menumpukan kepada segmen pasaran pertengahan dan mampu milik berikutan permintaan berdaya tahan untuk rumah mampu milik. - DagangNews.com