Perdagangan borong dan runcit naik 7.2% kepada RM139.8 bilion pada Julai 2023 – DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdagangan borong dan runcit naik 7.2% kepada RM139.8 bilion pada Julai 2023 – DOSM

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Sept - Perdagangan borong dan runcit Malaysia mencatatkan nilai jualan berjumlah RM139.8 bilion, meningkat 7.2% tahun ke tahun pada Julai 2023, kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata kenaikan tersebut didorong oleh subsektor perdagangan borong yang naik 5.7% atau RM3.4 bilion kepada RM63.1 bilion.

 

“Perdagangan runcit juga berkembang 5.5% atau RM3.1 bilion kepada RM59.7 bilion, diikuti kenderaan bermotor yang melonjak 20.5% atau RM2.9 bilion kepada RM17 bilion,” ujar beliau dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut beliau pertumbuhan dua angka subsektor kenderaan bermotor pada bulan ini telah didorong oleh peningkatan jualan kenderaan bermotor sebanyak 25.9% atau RM1.8 bilion kepada RM8.8 bilion.

 

Ini diikuti oleh jualan alat ganti serta aksesori kenderaan bermotor (17.3%), penyelenggaraan dan pembaikan kenderaan bermotor (18.3%) selain jualan, penyelenggaraan dan pembaikan motosikal (2.6%).

 

Sementara itu, peningkatan 0.9% atau RM1.3 bilion berbanding bulan sebelumnya telah disumbangkan oleh perdagangan borong dengan kenaikan RM700 juta atau 1.1%.

 

 

dosm

 

 

Dalam tempoh yang sama, kenderaan bermotor pulih kembali mencatat pertumbuhan positif sebanyak 2% atau RM300 juta, manakala perdagangan runcit melonjak 0.5% atau RM300 juta.

 

“Bagi perbandingan bulanan, perdagangan borong naik 1.1% disebabkan jualan borong khusus lain (3.1 %), borong bahan mentah pertanian dan haiwan hidup (5.2%) serta borong makanan, minuman dan tembakau (0.4%),” katanya.

 

Sementara itu, perbandingan bulanan bagi perdagangan runcit pula mencatat peningkatan 0.5%, disokong jualan runcit di kedai khusus (1.6%), jualan runcit barangan isi rumah (1.7%) dan jualan runcit kelengkapan informasi dan komunikasi (1.3%) .

 

Bagi indeks jualan runcit melalui internet, ianya merekodkan pertumbuhan 0.4% tahun ke tahun dalam Julai 2023 berbanding 1.5% bulan sebelumnya, manakala nilai pelarasan musim indeks tersebut adalah lebih baik pada 0.7% berbanding bulan sebelumnya.

 

Dalam terma indeks volum, perdagangan borong dan runcit bagi Julai 2023 mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun sebanyak 5.4%, disumbangkan oleh semua subsektor iaitu kenderaan bermotor (20.4%), perdagangan borong (6.6%) dan perdagangan runcit(2.7%).

 

Bagi indeks volum pelarasan musim, ia meningkat 2.3% bulan ke bulan. - DagangNews.com