Penjualan pegangan Dialog Jubail Supply Base langkah strategik bantu tumpu kepakaran lain - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penjualan pegangan Dialog Jubail Supply Base langkah strategik bantu tumpu kepakaran lain - MIDF Research

Dialog akan menjual keseluruhan pegangan dalam Dialog Jubail Supply Base Company Ltd (DJSB). -Gambar Dialog Group
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Keputusan Dialog Group Bhd menjual keseluruhan pegangan dalam usaha sama di Arab Saudi, Dialog Jubail Supply Base Company Ltd (DJSB) kepada rakan kongsi mereka disifatkan sebagai langkah strategik yang akan membantu Kumpulan memberi tumpuan kepada bidang kepakaran lain di peringkat tempatan dan serantau.

 

MIDF Research berkata, penyesuaian terhadap perubahan pasaran di Pelabuhan Jubail juga dilakukan pada masa yang sesuai, kerana perjanjian ini boleh memastikan transaksi yang lancar tanpa menjejaskan pengoptimuman operasi. 

 

"Walau bagaimanapun, kami memerhatikan terdapat beberapa risiko yang mungkin timbul, termasuk turun naik pasaran jangka pendek yang boleh mempengaruhi nilai penjualan, risiko operasi dalam peralihan pemilikan dan perubahan peraturan yang tidak dijangka yang mungkin menjejaskan manfaat kewangan.

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan kepada ramalan kami untuk Dialog dan mengekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) yang tidak berrubah iaitu RM2.72 sesaham," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Dialog memaklumkan akan menjual keseluruhan pegangan mereka dalam Dialog Jubail Supply Base Company Ltd (DJSB), kepada rakan kongsi usaha sama mereka dengan harga 47.5 juta riyal Saudi (kira-kira RM55 juta).

 

Kumpulan itu melalui anak syarikat tidak langsungnya Dialog (Labuan) Ltd (DLL), telah memeterai perjanjian dengan Sedres Trading & Maritime Services Co Ltd untuk menjual pegangan 60% dalam DJSB. 

 

Sedres kini memegang baki 40% pegangan dalam DJSB, yang terutamanya terlibat dalam penyediaan perkhidmatan logistik untuk asas bekalan dan perdagangan minyak asas di Arab Saudi.

 

MIDF Research dalam pada itu menyifatkan Dialog Group menjual pegangan mereka dengan keuntungan lebih tinggi dmemandangkan kos pelaburan asal dalam DJSB adalah kira-kira RM1.4 juta pada tahun kewangan 2011.

 

Kata firma penyelidikan itu, penjualan saham tersebut menghasilkan keuntungan kira-kira RM1 juta kepada Dialog dan hasil jualan yang akan diterima dalam tempoh 9 bulan akan dating bakal digunakan untuk tujuan modal kerja. 

 

MIDF Research juga menjangkakan keuntungan tersebut akan disalurkan kepada pelaburan strategik lain dengan potensi pertumbuhan yang lebih tinggi, seperti dalam tenaga boleh diperbaharui (RE) dan pengembangan keupayaan penyimpanan.

 

"Landskap perniagaan di kawasan Pelabuhan Jubail sedang berubah di mana kebanyakan kerja pengangkutan berat yang disediakan oleh DJSB dijangka berkurangan secara beransur-ansur dan hanya memfokuskan kepada perkhidmatan logistik biasa. 

 

"Oleh itu, dengan minat Sedres untuk mengambil alih DJSB sebagai syarikat tempatan di Arab Saudi, ini adalah masa yang sesuai bagi Dialog untuk melepaskan pegangan mereka dalam DJSB," ujarnya.- DagangNews.com