KUALA LUMPUR 6 Jan - Pengguna mungkin terpaksa membayar harga polisi insurans yang lebih tinggi ekoran nilai tuntutan perubatan yang dijangka meningkat tahun ini, demikian menurut AmInvestment Bank.
Penganalisisnya, Kelvin Ong berkata, keadaan ini disebabkan kenaikan caj hospital dan perubatan pada 2023 ekoran tekanan inflasi.
Beliau tidak menolak kemungkinan syarikat insurans/takaful akan menaikkan harga premium/caruman itu membabitkan polisi sedia ada, berkuat kuasa dan baharu.
Katanya, tuntutan untuk insurans/takaful am dijangka stabil tetapi terdapat peningkatan dalam tuntutan perubatan untuk perniagaan insurans hayat/takaful keluarga.
"Pertumbuhan premium/caruman untuk perniagaan takaful hayat/keluarga dijangka kekal mencabar di tengah-tengah tekanan inflasi dan halangan ekonomi yang berkemungkinan menyaksikan pengguna menangguhkan komitmen mereka untuk membeli pelan insurans jangka panjang.
"Bagaimanapun, harga bagi insurans motor dan kebakaran kekal kompetitif pada tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.
Ini berikutan pada 1 Oktober 2022, harga produk bagi segmen kebakaran dan motor terus diliberalisasi di bawah Fasa 2A.
Di bawah fasa 2A, tarif bagi produk kebakaran dikurangkan sebanyak 15% termasuk harga bagi produk kebakaran tanpa tarif dipinda sehingga kurang 30% daripada tarif baharu.
"Dengan pembukaan semula ekonomi dan trafik atas jalan yang lebih tinggi, kami melihat tuntutan bagi insurans motor sudah pun normal sepenuhnya, justeru, kami tidak menjangkakan tuntutan lebih tinggi bagi perniagaan insurans/takaful am pada 2023," jelasnya.
Dalam pada itu, Ong menjangkakan segmen insurans/takaful am akan mencatatkan pertumbuhan antara pertengahan satu angka kepada dua angka yang rendah bagi premium/sumbangan kasar pada tahun ini.
Sebaliknya, menurut beliau, premium/sumbangan kasar bagi insurans/takaful hayat dan keluarga dijangka menguncup berbanding 2022.
"Ini disebabkan oelaksanaan FRS 17 pada 1 Januari 2023 yang akan menyaksikan hanya premium/sumbangan kasar diiktiraf sebagai pendapatan," katanya.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2022, insurans am mencatat pertumbuhan premium kasar sebanyak 10.8% tahun ke tahun manakala caruman kasar industri takaful am meningkat 20.6%.
Secara keseluruhan, AmInvestment mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor insurans dengan mengambil kira permintaan yang lebih rendah terhadap insurans hayat dan am sejajar dengan kelembapan pertumbuhan global.
"Selain itu, persaingan juga semakin meningkat dengan kemungkinan pengeluaran lima lesen insurans digital pada tahun ini.
"Ia berikutan pengeluaran lesen perbankan kepada lima konsortium yang layak oleh Bank Negara Malaysia pada tahun lalu," katanya. - DagangNews.com








