Pengeluaran getah asli pada Disember 2021 meningkat 36.7% - Jabatan Perangkaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengeluaran getah asli pada Disember 2021 meningkat 36.7% - Jabatan Perangkaan

KUALA LUMPUR 10 Feb - Pengeluaran getah asli Malaysia meningkat 36.7% kepada 41,690 tan pada Disember 2021 daripada 30,493 tan yang dicatatkan pada November 2021, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, perbandingan tahunan pula menunjukkan pengeluaran susut 16.3% daripada 49,825 tan yang direkodkan pada Disember 2020.

 

“Pengeluaran getah asli Malaysia pada Disember 2021 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil pada 91% manakala sektor estet sebanyak 9%,” katanya dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan Malaysia Disember 2021 yang dikeluarkan hari ini.

 

Perangkaan itu meliputi statistik pengeluaran, import, eksport, penggunaan domestik, stok, harga, bilangan pekerja, gaji dan upah serta produktiviti bagi estet getah.

 

Jumlah stok getah asli meningkat 5.9% kepada 285,208 tan pada Disember 2021, daripada 269,421 tan pada November 2021.

 

Kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 91.8% diikuti kilang pengguna getah dengan 8.1% dan estet getah pada 0.1%.

 

Eksport getah asli Malaysia berjumlah 45,982 tan pada Disember 2021, susut 24.5% daripada 60,942 tan yang direkodkan pada November 2021.

 

China terus mendominasi sebagai pengimport tertinggi getah asli iaitu 41.5% daripada jumlah keseluruhan eksport pada Disember 2021 diikuti Finland (10.7%), Pakistan (4.2%), Turki (3.2%) dan Jerman (2.5%).

 

Prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

 

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai sebanyak RM2.3 bilion pada Disember 2021, turun 6.5% daripada RM2.5 bilion yang dicatatkan pada November 2021.

 

Mohd Uzir berkata, analisis kepada perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan 2.6% kepada 539.45 sen sekilogram pada Disember daripada 553.64 sen sekilogram pada November 2021.

 

Sekerap juga turun 0.3% kepada 548.07 sen sekilogram pada Disember 2021 daripada 586.10 sen sekilogram pada November.

 

“Keadaan yang sama turut berlaku kepada semua jenis Getah Mutu Malaysia (G.M.M) yang turun 1.2 hingga 2.5%,” katanya.

 

Sementara itu, berdasarkan laporan Malaysian Rubber Board Digest keluaran Disember, berlaku penurunan dalam pasaran pada Disember.

 

Jabatan Perangkaan berkata, ia disebabkan oleh kerugian dalam pasaran niaga hadapan getah serantau ekoran kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penyebaran varian Omicron COVID-19 selain kelewatan dalam pengeluaran kereta akibat kekurangan cip dan komponen peringkat global yang akan memperlahankan permintaan untuk getah.

 

Sementara itu, prestasi suku keempat 2021 menunjukkan pengeluaran getah asli susut 13.1% kepada 115,310 tan daripada 132,732 tan pada suku ketiga 2021.

 

Prestasi pengeluaran getah asli Malaysia pada 2021 pula mencatatkan penyusutan 8.7% kepada 469,669 tan, daripada 514,702 tan yang direkodkan pada 2020. - DagangNews.com