KUALA LUMPUR 27 April - RHB Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap Sarawak Oil Palms Bhd. dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi pada RM7.05 daripada RM6.05 selepas menyemak naik pendapatan bagi tahun kewangan 2022 (FY22) hingga FY24 antara 1.8 hingga 3.6%.
Menurut firma itu, kumpulan dijangka merekodkan prestasi suku pertama bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2022 yang kukuh susulan harga minyak sawit mentah yang dilihat terus kekal tinggi dalam tempoh berkenaan.
Katanya, dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menganggarkan harga spot purata pada RM6,183 satu tan metrik, kedudukan kumpulan sebagai syarikat perladangan tulen dengan jualan hadapan yang minimum akan mendapat manfaat daripada harga yang tinggi dengan hasil pada suku pertama dijangka 15 hingga 20% lebih tinggi bagi suku ke suku.
"Bagaimanapun, prestasi lebih baik ini dijangka diimbangi oleh pengeluaran buah tandan segar yang lebih rendah.
"Trend pengeluaran buah tandan segar yang rendah dijangka berterusan sehingga sekurang-kurangnya pada akhir separuh pertama 2022 disebabkan masalah kekurangan tenaga buruh.
"Kami menganggarkan pengeluaran buah tandan segar akan merosot 0.5% tahun ke tahun bagi 2022, sebelum meningkat 6% pada FY23 berbanding unjuran pertumbuhan yang mendatar seperti dinyatakan kumpulan bagi FY22," katanya dalam nota kajian hari ini.
Terdapat kelewatan dalam pengambilan pekerja buruh di seluruh negara, berikutan penyelarasan permohonan permit melalui portal Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).
Daripada 475,678 majikan yang telah mengemukakan permohonan untuk mengambil pekerja asing melalui sistem itu sehingga 1 April lalu, sebanyak 53,854 atau 11.3% daripadanya adalah untuk sektor perladangan.
Pada masa sama, 32,000 pekerja yang sebelum ini diluluskan semata-mata untuk sektor perladangan juga masih belum tiba.
RHB Research berkata, Sarawak Oil Palms telah mula mengambil pekerja kontrak bagi mengatasi masalah kekurangan buruh itu tetapi kesannya kurang ketara setakat ini.
"Jika keadaan ini berlarutan sehingga separuh kedua 2022 apabila musim puncak bermula, kumpulan mungkin terpaksa menanggung satu lagi pusingan kekurangan pengoptimuman tanaman kerana kekurangan pekerja di bahagian penuaian," jelasnya.
Firma itu turut menjangkakan kos pembajaan kumpulan pada separuh pertama 2022 akan meningkat sehingga 505 tahun ke tahun disebabkan kos baja yang lebih tinggi.
Setakat 11.06 pagi ini, harga saham Sarawak Oil Palms susut 13 sen atau 2.01% kepada RM6.35 dengan 627,000 saham diniagakan. - DagangNews.com








