Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 21 April - Unjuran pendapatan syarikat pembekal produk sarung tangan getah, Kossan Rubber Industries Berhad (Kossan) ditingkatkan lebih tinggi iaitu 232.3% bagi tahun kewangan 2021 (FY21).
MIDF Research berkata, unjuran berkenaan dinilai kepada hasil perolehan semasa yang diraih dan lebih baik berbanding jangkaan.
"Oleh kerana hasil yang diraih adalah lebih baik daripada jangkaan, kami meningkatkan unjuran pendapatan FY21 sebanyak 232.3% seiring peningkatan purata harga jualan (ASP) dan andaian margin.
"Bagaimanapun, kami masih tidak membuat anggaran bagi tahun kewangan 2022 dan 2023 sementara menunggu penjelasan lanjut berkaitan permintaan dan harga jualan," jelas MIDF Research.
Bagi tempoh suku pertama tahun kewangan 2021, Kossan berjaya mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM1.04 bilion.
Melalui jumlah keuntungan tersebut, Kossan turut mengumumkan dividen interim sebanyak 12.0 sen bagi suku berkenaan.
Prestasi yang memberangsangkan itu dipacu oleh ASP yang lebih tinggi berbanding jangkaan serta margin keuntungan yang lebih baik.
Dalam pada itu, permintaan yang tertangguh pada suku sebelumnya juga akibat kekurangan pengangkutan kontena penghantaran turut menyumbang kepada hasil pada suku pertama tahun ini.
Tambah MIDF Research, kestabilan kos bahan mentah serta peningkatan kecekapan operasi turut membantu syarikat menaikkan margin keuntungan sebanyak 6.0% kepada 47.5%.
Mengulas berkaitan ASP yang telah meningkat sekitar 60% suku ke suku, MIDF Research memberitahu, pihaknya percaya bahawa ASP berkemungkinan akan terus meningkat pada suku akan datang.
"Perkembangan COVID-19 global juga masih dalam fasa ketidakpastian meskipun telah melancarkan program vaksinasi.
"Kami kekalkan saranan 'beli' saham Kossan dengan harga sasaran sesaham (TP) bernilai RM5.83.
"Harga TP tersebut turut dinilai kepada jangkaan perolehan sesaham bagi tahun kewangan 2022 sebanyak 33.3 sen," ujar MIDF Research. - DagangNews.com








