Pendapatan Farm Fresh dijangka beransur pulih disokong kos bahan mentah lebih rendah, kata CGS-CIMB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pendapatan Farm Fresh dijangka beransur pulih disokong kos bahan mentah lebih rendah, kata CGS-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 12 Sept - Pendapatan Farm Fresh Bhd mencecah paras terendah pada suku keempat berakhir 31 Mac 2023 (4QFY23), namun dijangka beransur pulih selepas syarikat harga jualan produk dinaikkan pada Julai, manakala kos bahan mentah telah menurun, menurut CGS-CIMB Securities.

 

Ketika Persidangan Pengguna CGS-CIMB 2023 pada 6 Sept, Ketua Pegawai Kewangan Kumpulan Farm Fresh, Mohd Khairul Mat Hassan berkata harga susu mentah dari ladang di Australia susut 4%, manakala harga sebuk susu penuh turun 24% tahun ke tahun pada Ogos, menurut firma penyelidikan itu.

 

“Ia akan mengambil tempoh beberapa suku sebelum kesan penuh perkara di atas dapat dilihat dalam keuntungan yang dilaporkan. Paling penting, pihak pengurusan menjangkakan syarikat kembali kepada trajektori pendapatan terdahulu, yang kami tafsirkan sebagai kembali mencatatkan keuntungan bersih melebihi RM100 juta setahun, meskipun selepas FY24," katanya firma itu dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut CGS-CIMB Securities, kos bahan mentah yang telah menyusut akan ketinggalan di belakang kos jualan secara beransur-ansur, kerana kumpulan itu masih mengurangkan inventori berkos lebih tinggi, namun trajektori menurun adalah jelas.

 

Selain itu, pengurusan syarikat juga telah melindung nilai pendedahan dolar Amerika Syarikat dengan kadar pertukaran mata wang dolar dan ringgit ditetapkan pada RM4.53 hingga 4.55 sehingga akhir 2023.

 

"Kami menganggarkan margin kasar Farm Fresh melantun semula pada suku-suku mendatang, dibantu oleh kos yang lebih rendah serta purata kenaikan harga 5% berkuat kuasa mulai 1 Julai, dengan margin kasar 26% bagi FY24, berbanding 17.7% dalam 1QFY24,” katanya.

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah pada RM1.37 sesaham, yang menganggap pulangan ekuiti (ROE) sebanyak 16%.

 

"Trajektori pendapatan Farm Fresh pada suku-suku berikutnya akan menjadi pendorong untuk menetapkan jangkaan pendapatan jangka sederhana dan ROE, dan seterusnya trajektori harga sahamnya.

 

“Kegagalan memenuhi jangkaan pelabur terhadap pemulihan margin merupakan risiko penurunan utama, pada pandangan kami, sementara melangkaui jangkaan tersebut akan mendorong penarafan semula, justeru risiko menaik,” tambahnya.

 

Setakat pukul 12:22 tengah hari ini, saham Farm Fresh susut 1 sen atau 0.8% kepada RM1.23 dengan permodalan pasaran sebanyak RM2.3 bilion.  - DagangNews.com