Pemulihan sektor hartanah tidak sekata, HLIB kekal pandangan 'neutral' | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemulihan sektor hartanah tidak sekata, HLIB kekal pandangan 'neutral'

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 8 April - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor hartanah memandangkan ia masih dipengaruhi beberapa faktor yang menyebabkan pemulihan tidak sekata dalam kalangan syarikat pemaju di bawah liputannya. 

 

Penganalisisnya, Tan Kai Shuen berkata, dinamik sektor hartanah yang mengalami perubahan apabila memasuki 2022 berbanding tahun sebelumnya, sebaliknya akan memberi manfaat kepada beberapa syarikat pemaju hartanah. 

 

Berdasarkan pemerhatiannya, dengan kenaikan harga bahan binaan seperti keluli dan simen melebihi 20% berasaskan tahun ke tahun, pemaju hartanah yang bijak adalah mereka yang menyalurkan kerja pembinaan kepada pihak ketiga.

 

"Langkah ini, menjadikan kos pembinaan adalah lebih rendah (di tengah-tengah persekitaran peningkatan kos) dan bagi pelancaran baharu pula, pemaju boleh menyalurkan kerja-kerja pembinaan pada harga yang kompetitif kerana mereka masih lagi berhati-hati terhadap sentimen sektor hartanah.

 

"Bagi memastikan aliran tunai yang positif, kontraktor mungkin terpaksa mengorbankan margin mereka semata-mata untuk memperoleh kerja-kerja pembinaan daripada pemaju," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada masa sama, menurutnya, pemaju yang menikmati kadar pengambilan tinggi dalam pelancaran baharu juga adalah mereka yang memiliki kuasa harga yang lebih baik dan membolehkannya lebih fleksibel dalam pelarasan harga untuk mengekalkan margin. 

 

Kai Shuen berkata, dengan berakhirnya Kempen Pemilikan Rumah (HOC) pada 31 Disember lalu, peluang kini terbuka kepada segmen mampu milik kerana ia terus memberi pengecualian bagi duti setem.

 

Sebelum HOC diperkenalkan pada 1 Januari 2019, segmen rumah mampu milik menikmati pengecualian duti setem bagi hartanah bernilai sehingga RM500,000. 

 

Tetapi, apabila kempen itu bermula, pengecualian itu dibuka kepada hartanah bernilai sehingga RM1 juta.

 

"Namun, kami dapati sepanjang tempoh kempen ini, segmen mampu milik menyaksikan permintaan tinggi dengan lebih 75% transaksi hartanah," tambahnya.

 

Dalam pada itu, beliau juga menjangkakan kenaikan 25 mata asas kadar dasar semalaman (OPR) akan meningkatkan ansuran bulanan sebanyak 3.2%. 

 

"Ini akan mengurangkan perbelanjaan pengguna dan meningkatkan kos pembelian hartanah. Tetapi, kenaikan 2.00% kadar faedah ini (dijangka pada suku keempat 2022) masih lagi berada di bawah paras 2019 sekitar 3 hingga 3.25%. 

 

"Kenaikan kadar faedah ini juga dijangka menjejaskan pemaju yang mempunyai tahap gearan tinggi disebabkan perbelanjaan faedah yang lebih tinggi," katanya.

 

Secara keseluruhan, HLIB itu memilih pemaju dalam segmen mampu milik iaitu, Lagenda Properties Bhd., Matrix Concepts Holdings Bhd. dan Mah Sing Group Bhd. sebagai pilihan utama bagi sektor hartanah. 

 

Firma itu memberi saranan 'beli' kepada ketiga-tiga syarikat pemaju ini dengan harga sasaran Lagenda Properties pada RM2 diikuti Matrix (RM2.54) dan Mah Sing (87 sen). - DagangNews.com