KUALA LUMPUR 10 Feb - Pertumbuhan ekonomi Malaysia pada suku keempat 2021 (Q4) dijangka lemah berbanding jangkaan penganalisis ekoran kadar pemulihan yang tidak sekata.
Ini disebabkan kesan daripada kejadian banjir pada Disember lalu diikuti masalah kekurangan tenaga buruh dan bahan mentah, serta tekanan inflasi yang dilihat mempengaruhi momentum pemulihan pada akhir tahun.
Bank Negara Malaysia (BNM) akan mengumumkan prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat, esok.
CGS-CIMB menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang pada 4.1% pada suku tersebut, lebih rendah daripada anggaran 5% sebelum ini.
Firma itu mengunjurkan pertumbuhan KDNK 2021 lebih rendah sekitar 3.3% daripada unjuran sebelum ini pada 3.5%.
"Kadar pemulihan pada suku keempat bagaimanapun lemah memandangkan pemulihan pengguna yang tidak kukuh sepertimana dijangkaan.
"Kami melihat kelemahan dalam perkhidmatan kerajaan sebagai risiko penurunan utama kepada ramalan 4.1% kami untuk suku keempat ini," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Moody's Analytics unjur KDNK suku keempat berkembang 3%
Ekonomi Malaysia menguncup 4.5% pada suku ketiga 2021 disebabkan pelaksanaan langkah pembendungan ketat terutama pada Julai di bawah Fasa 1 Pelan Pelan Pemulihan negara (PPN).
Pada suku pertama 2021, ekonomi Malaysia mencatat KDNK yang lebih kecil iaitu sebanyak 0.5% berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku keempat 2020.
Untuk suku kedua pula, ekonomi negara berkembang kukuh sebanyak 16.1% berikutan permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

Bagaimanapun, Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research lebih optimis terhadap pertumbuhan ekonomi suku keempat ini dengan mengunjurkan KDNK berkembang 3.6%.
Katanya, pemulihan kukuh itu disokong oleh kelonggaran dalam semua aktiviti ekonomi dan pembukaan semula perjalanan rentas negeri apabila kebanyakan negeri beralih kepada fasa keempat Pelan Pemulihan Negara.
"Selain pembinaan dan perlombongan, sektor ekonomi lain dijangka mencatatkan pemulihan. Ini menjadikan unjuran KDNK keseluruhan 2021 kepada 3.1%.
"Tetapi, ini adalah lebih rendah daripada jangkaan awal kami sebelum ini pada 3.5%, namun berada di dalam julat unjuran kerajaan antara 3 hingga 4%," jelasnya.
Sementara itu, MIDF Research menjangkakan ekonomi suku keempat akan berkembang 5.6% disokong pemulihan aktiviti ekonomi di dalam negara.
"Ini menjadikan KDNK diunjur berkembang 3.7% bagi 2021, selepas menguncup 5.6% pada tahun sebelumnya," katanya.
Firma itu turut menjangkakan prospek pertumbuhan yang lebih baik pada 2022 memandangkan ekonomi akan terus berkembang didorong peningkatan dalam perbelanjaan pengguna dan aktiviti ekonomi.
Bagaimanapun, ia tidak menolak wujudnya beberapa risiko kepada prospek pertumbuhan, antaranya situasi pandemik yang mungkin semakin buruk disebabkan varian baharu dan pemulihan yang perlahan dalam persekitaran bekalan global.
Faktor lain termasuklah kenaikan inflasi, pertumbuhan perlahan di China dan penarikan balik dasar oleh pihak berkuasa monetari utama yang dilihat turut mempengaruhi prospek pertumbuhan ekonomi.- DagangNews.com








