Pemegang saham minoriti Pesona Metro dinasihatkan tolak tawaran pengambilalihan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pemegang saham minoriti Pesona Metro dinasihatkan tolak tawaran pengambilalihan

KUALA LUMPUR 3 Jan - Pemegang saham minoriti Pesona Metro Holdings Bhd. telah dinasihatkan supaya menolak tawaran pengambilalihan mandatori yang dilancarkan oleh pemegang saham terbesarnya, Wie Hock Kiong, Kombinasi Emas Sdn. Bhd. dan orang yang bertindak secara bersama (PAC), yang secara kolektif memegang 59.99% saham Pesona Metro, untuk memperoleh baki saham pada 19 sen setiap satu atau RM52.83 juta.

 

Dalam pekeliling nasihat bebas yang difailkan di Bursa Malaysia hari ini, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. yang merupakan penasihat bebas berpandangan tawaran itu 'tidak adil dan tidak munasabah' dan mengesyorkan pemegang saham menolak tawaran tersebut.

 

Hock Kiong adalah pengarah bukan bebas bukan eksekutif Pesona Metro.

 

"Tawaran ini tidak adil selepas mengambil kira harga tawaran mewakili diskaun 17 hingga 18.5% kepada anggaran nilai saham Pesona Metro antara 22.9 sen dan 23.3 sen berdasarkan penilaian kaedah jumlah bahagian.

 

"[Walaupun harga tawaran adalah] premium daripada 1.39% hingga 1.66% berbanding harga pasaran purata wajaran volum lima hari dan sebulan (VWAP) saham Pesona Metro sehingga tarikh dagangan terakhir (LTD), tetapi pada diskaun daripada 0.42% kepada 14.61% kepada VWAP tiga bulan, enam bulan dan satu tahun saham Pesona Metro sehingga 29 November 2022, dan diskaun antara 16.96% hingga 19.15% hingga harga penutup terakhir dan lima hari VWAP saham Pesona Metro pada 28 Disember 2022," katanya dalam pekeliling berkenaan seperti dilapor The Edge.

 

Pada November lalu, Hock Kiong dan Kombinasi Emas telah melancarkan tawaran pengambilalihan mandatori selepas lelaki berusia 62 tahun itu memperoleh 80% pegangan dalam Kombinasi Emas daripada adiknya Wie Hock Beng, yang juga pengarah urusan Pesona Metro, pada harga RM18.09 juta. 

 

Kombinasi Emas, yang kemudiannya menjadi milik penuh Hock Kiong, memiliki 41.54% pegangan dalam Pesona Metro setakat 17 November 2022.

 

Dalam pekeliling itu, UOB Kay Hian juga menekankan bahawa adalah menjadi hasrat Hock Kiong dan PAC untuk mengekalkan status penyenaraian Pesona Metro di Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Sementara itu, pengarah yang tidak berkepentingan iaitu Pengerusi Pesona Metro, Datuk Seri Lee Tuck Fook, Loh Kong Fatt dan Salwa Shamshuddin turut bersetuju tawaran itu tidak adil dan tidak munasabah. Sehubungan itu, mereka telah mengesyorkan agar pemegang saham menolak tawaran tersebut. 

 

Bagaimana, tawaran tersebut dibuka untuk penerimaan sehingga 11 Januari 2023. - DagangNews.com