Pembukaan cawangan dijangka lonjak hasil Berjaya Food pada suku keempat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pembukaan cawangan dijangka lonjak hasil Berjaya Food pada suku keempat

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 12 Mei - Berjaya Food Bhd. dijangka mempercepatkan perancangan untuk mengembangkan rangkaian cawangan Starbucks dan Kenny Rogers Roasters pada suku keempat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022. 

 

CGS-CIMB Research berkata, kumpulan menyasarkan untuk membuka 10 hingga 13 cawangan baharu Starbucks dengan 5 daripadanya mempunyai kemudahan pandu lalu) dalam tempoh tersebut.

 

Katanya, pada suku ketiga, hanya 2 sahaja cawangan dibuka disebabkan kelewatan mendapatkan kelulusan pihak berkuasa yang berkaitan.

 

Pada masa sama, menurutnya, Berjaya Food juga akan membuka 4 cawangan/kios baharu Kenny Rogers Roasters selepas menempatkan semula 2 cawangannya di lokasi yang menjadi tarikan pengunjung pada suku ketiga.

 

"Oleh itu, kami menjangkakan kumpulan akan menyaksikan trajektor pertumbuhan jualan yang kukuh pada suku keempat. 

 

"Ini didorong jualan sempena musim Hari Raya, jumlah jam operasi yang lebih lama dan bilangan cawangan yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, keuntungan bersih Berjaya Food melonjak kepada RM31.58 juta bagi suku ketiga berakhir 31 Mac 2022 berbanding RM11.61 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga meningkat kepada RM246 juta daripada RM181.73 juta bagi tahun kewangan 2021.
 

Pertambahan hasil sebanyak 35% ini disebabkan oleh pertumbuhan jualan kedai yang lebih tinggi, terutamanya kafe Starbucks susulan pergerakan yang lebih baik berikutan penyambungan semula pelancongan domestik dan kelonggaran prosedur operasi standard COVID-19.

 

Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2022, kumpulan mencatatkan hasil yang lebih baik berjumlah RM706.47 juta berbanding RM536.55 juta semasa sembilan bulan pertama 2021. 

 

Menurut CGS-CIMB, dengan mencatatkan keuntungan bersih teras yang kukuh pada suku ketiga sebanyak RM31.9 juta, menjadikan keputusan kewangan dalam tempoh 9 bulan kepada RM85.8 juta, jauh melebihi jangkaan firma dan konsensus.

 

Ini membolehkan firma itu mengulangi saranan 'tambah' dengan harga sasaran dinaikkan kepada RM5.50 daripada RM4.40 sebelum ini.

 

"Berjaya Food juga dilihat sebagai saham pembukaan semula ekonomi yang kukuh dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun (CAGR) 3 tahun sebanyak 30.5% bagi pendapatan sesaham (EPS) yang mantap," katanya.

 

Setakat 10.06 pagi ini, harga sahamnya menokok 12 sen atau 3.24% kepada RM3.82 dengan 437,400 saham diniagakan. - DagangNews.com