KUALA LUMPUR 12 Sept - Pelupusan tanah Kiara Bay bernilai RM85 juta memberi kesan minimum terhadap pendapatan UEM Sunrise Berhad, kata AmInvestment Bank Research, yang ‘neutral’ terhadap urus niaga terbabit.
“Kami ‘neutral’ terhadap pelupusan tanah tersebut, yang terutamanya melibatkan pengurusan aliran tunai Mega Legacy dan mempunyai kesan minimum terhadap pendapatan UEM Sunrise.
“Oleh itu, kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan kami,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini sambil mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan nilai saksama (FV) 60 sen sesaham.
Anak syarikat UEM Sunrise, Mega Legacy (M) Sdn Bhd dilaporkan akan menjual tanah berkeluasan 1.62 hektar tersebut, yang terletak di Teluk Kiara, Kepong, kepada Pembinaan Kery Sdn Bhd (PKSB), sebuah unit milik Melati Ehsan Holdings Berhad, bagi membayar balik obligasi hutangnya serta membiayai modal kerja mereka.
Pada masa yang sama, Mega Legacy memeterai perjanjian hak pembangunan (DRA) dengan PKSB untuk membangunkan tanah itu pada nilai hak pembangunan sekurang-kurangnya RM93.5 juta.
BACA JUGA: UEM Sunrise lupus tanah Kiara Bay berharga RM85 juta bagi membayar hutang dan biayai modal kerja
Menurut AmInvesment, hak pembangunan bernilai sama ada (i) RM93.5 juta; atau (b) agregat harga pembelian tanah sebanyak RM85 juta ditambah dengan kelayakan PKSB kepada 20% daripada keuntungan projek, mengikut mana-mana amaun yang lebih tinggi.
Jelasnya, tujuan dua pengaturan berkenaan membolehkan Mega Legacy membayar balik obligasi hutangnya dan memperuntukkan sebahagian daripada hasil sebagai modal kerja untuk pelancaran projek akan datang, Residensi ZIG.
Bagaimanapun, bayaran pertama nilai hak pembangunan kepada PKSB hanya akan dilakukan selepas pelancaran rasmi projek di atas tanah itu, manakala bayaran akhir akan dibuat selepas projek siap.
“Jurang masa antara hasil daripada pelupusan tanah dan pembayaran nilai hak pembangunan memberikan Mega Legacy masa yang mencukupi untuk mengatur dan mengurus komitmen aliran tunainya.
“Memandangkan UEM Sunrise merancang untuk melancarkan Residensi ZIG dengan nilai pembangunan kasar RM646 juta di Kiara Bay menjelang suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23), kami menjangkakan pelancaran baharu di tanah itu tidak akan berlaku dalam tempoh terdekat bagi memudahkan pengurusan aliran tunai yang lebih baik,” tambahnya.
Firma itu berkata harga pelupusan RM85 juta adalah bersamaan dengan nilai pasarannya, seperti yang dinyatakan oleh penilai bebas, Rahim & Co.
Pada pukul 2:35 petang ini, saham UEM Sunrise telah susut 2 sen atau 2.8% kepada 68.5 sen dengan permodalan pasaran bernilai RM3.47 bilion. - DagangNews.com








