KUALA LUMPUR 21 Feb - Fitch Solutions Country Risk and Industry Research menjangkakan jualan kenderaan elektrik penumpang (EV) di Malaysia akan berkembang pada 2023, hasil daripada pelaksanaan pelbagai insentif walaupun daripada asas yang rendah.
Berdasarkan anggaran agensi itu, jualan EV penumpang akan meningkat 82% pada 2023, mencapai jumlah kira-kira 5,840 unit setiap tahun.
Menurutnya, Malaysia telah memperkenalkan langkah untuk mempromosikan dan merangsang penggunaan EV melalui insentif.
Pengecualian cukai jalan untuk EV kini dilaksanakan bersama-sama dengan subsidi RM2,500 (AS$600) untuk pembelian infrastruktur mengecaj EV oleh pengguna.
Selain itu, pengurangan 100% dalam duti import ke atas EV yang dibina sepenuhnya sehingga 31 Disember 2023 telah diperkenalkan.
"Memandangkan lebih banyak kenderaan elektrik bateri (BEV) diperkenalkan dan memberi pengguna lebih banyak pilihan, kami meramalkan kenderaan elektrik hibrid plug-in (PHEV) akan kehilangan bahagian pasaran pada 2023.
"Berikutan prestasi yang baik dalam kedua-dua PHEV dan BEV menggalakkan penggunaan EV, kami meramalkan jumlah jualan EV sebagai peratusan daripada jumlah jualan akan melepasi ambang 1% menjelang 2024," katanya seperti dilapor TheEdge hari ini.
EV bagi pemasangan tempatan (CKD) akan layak menikmati pengecualian duti sehingga 31 Disember 2025, beserta pengecualian cukai jualan dan duti eksais, yang akan meningkatkan lagi kemampuan untuk pengguna berikutan cukai yang sememangnya tinggi ke atas pengimportan kenderaan ke negara ini.
Fitch Solutions berkata, Volvo Car Malaysia (VCM) sebelum ini menyatakan hasratnya untuk mengeksport kereta ke Vietnam dan Filipina pada 2023, dalam usaha menjadikan Malaysia sebagai hab bagi kenderaan elektrik.
"Dengan kembalinya jenama Sweden itu ke negara ini (melalui PT Leading Vision Otomotif), firma itu mula mengeksport kereta ke Indonesia pada 2022 manakala Thailand telah berada dalam senarai eksportnya sejak sekian lama.
"XC40 Recharge Pure Electric dan C40 Recharge Pure Electric pada masa ini kedua-duanya dibina secara tempatan (CKD) di Shah Alam, dengan yang sebelum itu, pertama kali diperkenalkan pada Mac 2022 dan yang kedua selepas Disember 2022,” katanya. - DagangNews.com








