Pelabur kini hanya menantikan keputusan PRU15, ambil pendekatan 'tunggu dan lihat' - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur kini hanya menantikan keputusan PRU15, ambil pendekatan 'tunggu dan lihat' - penganalisis

Hari pengudian awal bagi pilihan raya umum ke-15 telah pun bermula semalam. - Gambar : Facebook Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Nov - Dagangan pasaran saham tempatan dilihat terus berada dalam keadaan tidak menentu terutama menjelang cuti hujung minggu yang panjang sempena hari pengundian bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15), Sabtu ini. 

 

Selepas melonjak 96 mata daripada paras rendah dua tahun pada 1,373 mata (13 Oktober) kepada setinggi 1,469 mata (14 November), indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI ditutup rendah untuk hari kedua kepada 1,450 mata semalam, menjelang PRU15 dalam beberapa hari lagi.

 

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB), Ng Jun Sheng berkata, FBM KLCI berada pada paras rintangan antara 1,469 hingga 1,500 mata dengan paras sokongan sekitar 1,408 hingga 1,436 mata. 

 

Jelasnya, indeks itu akan terus kekal dalam keadaan turun naik memandangkan pelabur mengambil pendekatan 'tunggu dan lihat' menantikan keputusan pilihan raya.

 

"Ini disebabkan ketidakpastian yang semakin meningkat terhadap keputusan PRU15, diburukkan lagi dengan pakatan yang berpecah-belah ekoran pertembungan pelbagai penjuru. 

 

"Pada masa sama, pengundi berdaftar meningkat sebanyak 40% berbanding PRU14 kepada lebih 21 juta pengundi, apabila umur bagi kelayakan pengundi diturunkan kepada 18 tahun daripada 21 tahun sebelum ini serta pendaftaran pengundi secara automatik," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

PRU15 mencatat sejarah apabila merekodkan seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam sejarah PRU negara.

 

Berdasarkan data yang dipaparkan di Pusat Media ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 5 November lalu, seramai 441 calon akan bersaing untuk merebut 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang, Perlis dan kerusi N66 Bugaya, Sabah.

 

Menurut jumlah calon kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) mempertaruhkan calon paling ramai iaitu 206 orang, diikuti Barisan Nasional (BN) (178), Perikatan Nasional (PN) (149) dan Pejuang (116).

 

 

gambar hiasan

 

 

Bagi memberi laluan kepada PRU15, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan hari kelepasan am pada 18 dan 19 November ini bagi memudahkan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk mengundi. 

 

Menurut Jun Sheng, FBM KLCI tidak menjejaki pasaran serantau yang lebih tinggi apabila menjunam 13.5 mata kepada 1,450.50 mata pada Selasa dengan 27 daripada 30 komponen saham utamanya berakhir negatif ekoran ketidaktentuan menjelang PRU15 yang semakin meningkat.

 

"Dari segi aliran dana, pelabur asing merupakan penjual utama ekuiti tempatan dengan mencatat jualan bersih sebanyak RM185 juta selepas merekodkan pembelian selama tujuh sesi berturut-turut bejumlah RM545 juta.

 

"Sementara itu, pelabur institusi tempatan pula membeli RM150 juta ekuiti diikuti pelabur runcit sebanyak RM35 juta," katanya.

 

 

SPR

 

 

Dalam pada itu, CGS-CIMB Research berkata, pelabur dijangka terus bertahan menjelang keputusan PRU15 yang amat dinanti-nantikan.

 

Firma itu mendapati pegangan asing dalam pasaran ekuiti Malaysia susut 0.1% bulan ke bulan kepada 20.5% setakat akhir Oktober 2022, berbanding 20.2% pada Oktober 2021.

 

Trend penurunan itu bermula pada Mei 2018, khususnya selepas PRU14 pada 9 Mei 2018, apabila Pakatan Harapan (PH) memenangi majoriti mudah di Parlimen, menandakan perubahan buat kali pertama kerajaan dalam sejarah Malaysia.

 

Sejak itu, paras pegangan saham asing telah jatuh 4.1% mata daripada puncaknya 24.2% pada Mac 2018 kepada 20.1% pada Ogos 2022 disebabkan ketidaktentuan politik.

 

"Setakat akhir Oktober 2022, pegangan asing berada paras 20.5%, disebabkan ketidaktentuan politik di Malaysia menjelang PRU15.

 

"Pelabur asing pula telah membeli RM6.2 bilion ekuiti Malaysia setakat 11 November 2022 (berbanding jualan bersih RM3.2 bilion pada 2021)," jelasnya.

 

Kenanga Research pula menjangkakan bon Malaysia akan terus kekal berdepan tekanan pada November berikutan PRU15, yang boleh diburukkan lagi dengan situasi Parlimen tergantung.

 

"Sebaliknya, pasaran hutang tempatan mungkin mendapat sedikit kelegaan sekiranya terdapat pembentukan kerajaan yang pantas dan daripada potensi pulangan sentimen risiko global berikutan tekanan inflasi Amerika Syarikat (AS) yang semakin berkurangan," katanya.

 

Dalam dagangan pagi ini, FBM KLCI memulakan urus niaga yang agak rendah, di tengah-tengah sentimen pasaran yang berhati-hati menjelang PRU15.

 

Pada 9.05 pagi, indeks utama itu turun sebanyak 8.86 mata kepada 1,441.68 mata daripada 1,450.54 mata pada penutupan petang semalam. Setakat 3.24 petang ini, pasaran tempatan terus susut kepada 1,442.12 mata. - DagangNews.com