Pelabur berhati-hati terhadap pasaran pada Februari, jangka margin korporat yang lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur berhati-hati terhadap pasaran pada Februari, jangka margin korporat yang lemah

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 4 Feb - Pasaran dijangka berlegar dalam julat sokongan dan rintangan sepanjang Februari ini yang turut menyaksikan berlakunya aktiviti pemburuan saham murah berikutan pembetulan baru-baru ini, menurut CGS-CIMB.

 

Bagaimanapun, firma itu berkata, pelabur berkemungkinan kekal berhati-hati berikutan kebimbangan terhadap pelbagai langkah yang diambil oleh kerajaan untuk mengehadkan kenaikan kos sara hidup boleh menyebabkan margin keuntungan yang lebih lemah kepada korporat.

 

Pada masa sama, katanya, pasaran mungkin tidak mengambil kira sepenuhnya faktor surcaj elektrik sebanyak 3.7 sen per kilowat jam (kWh) bagi pengguna bukan domestik untuk tempoh Februari hingga Jun 2022. 

 

"Antara kebimbangan lain, termasuklah risiko dari segi perkembangan politik terutamanya pelabur akan memberi tumpuan kepada keputusan pilihan raya negeri Johor dan Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) menaikkan kadar faedah seawal Mac. 

 

"Selain itu, musim laporan kewangan bagi suku keempat 2021 juga akan menjadi fokus utama pelabur pada bulan ini.

 

"Pelabur turut menilai impak daripada banjir, tarif elektrik yang lebih tinggi, pelaksanaan harga siling untuk sesetengah barangan, kenaikan kos operasi dan Cukai Makmur terhadap pendapatan korporat," katanya dalam laporan strategi bagi Januari 2021 yang dikeluarkan hari ini.

 

Firma itu turut mengulangi unjuran sasaran FBM KLCI bagi akhir tahun ini pada 1,612 mata dengan 3 pilihan utama saham iaitu Hong Leong Bank Bhd, QL Resources Bhd. dan Inari Amerton Bhd.

 

Berdasarkan laporan tersebut, ia menunjukkan, KLCI pada Januari 2022 berakhir dengan 1,512 mata, susut 3.5% bagi bulan ke bulan. 

 

Kelemahan pasaran ini disebabkan kebimbangan ekoran peningkatan kos operasi, kenaikan kadar faedah global, ketidaktentuan dasar, risiko politik dan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) serta peningkatan jangkitan COVID-19.

 

Pada bulan tersebut juga, ia menyaksikan pelabur institusi tempatan menjual bersih ekuiti sebanyak RM663 juta berbanding membeli bersih ekuiti sebanyak RM958 juta pada Disember 2021. 

 

Pelabur asing pula muncul pembeli bersih ekuiti sebanyak RM332 juta selepas menjual RM1.1 bilion ekuiti pada bulan sebelumnya. 

 

Sebaliknya, pelabur runcit yang masih kekal satu-satunya pembeli bersih ekuiti tempatan menyaksikan pembeliannya susut 73% bulan ke bulan kepada RM87.3 juta pada Januari 2022.

 

Jumlah purata dagangan harian bagaimanapun meningkat 13% bulan ke bulan kepada 3.34 bilion unit manakala nilai purata dagangan harian meningkat 3% bulan ke bulan kepada RM2.1 bilion. 

 

Januari 2022 turut menyaksikan KLCI muncul sebagai pasaran ekuiti yang mencatat prestasi terburuk dalam kalangan pasaran MIST (Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand). - DagangNews.com