Pelabur asing mulakan dagangan minggu pertama 2023 dengan pembelian ekuiti RM72.3 juta - MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pelabur asing mulakan dagangan minggu pertama 2023 dengan pembelian ekuiti RM72.3 juta - MIDF Research

Gambar hiasan : Ryoji Iwata/Unsplash
Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 9 Jan - Pelabur asing memulakan dagangan minggu pertama 2023 dengan pembelian bersih ekuiti sebanyak RM72.3 juta berbanding jualan bersih RM204.6 juta ekuiti yang direkodkan pada minggu sebelumnya. 

 

Di sebalik hari dagangan yang pendek berikutan cuti gantian sempena Tahun Baharu pada Isnin lalu, pasaran ekuiti Malaysia menjadi tarikah pelabur asing didorong sentimen positif daripada pembukaan semula ekonomi China seperti negara serantau yang lain.  

 

Menurut laporan aliran dana mingguan MIDF Research, keyakinan pelabur juga meningkat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga menyatakan bahawa keputusan mengenai kadar faedah adalah hak mutlak Bank Negara Malaysia (BNM) di mana kerajaan tidak akan campur tangan.

 

Ini berlaku di tengah-tengah persoalan yang diarahkan oleh pihak tertentu terhadap bank pusat mengenai penetapan kadar dasar semalaman (OPR).

 

Pada minggu sebelumnya, pelabur asing mencatat jualan bersih pada Selasa dan Rabu masing-masing sebanyak RM32.3 juta dan RM22.6 juta sebelum meningkatkan belian bersih kepada Khamis dan Jumaat masing-masing sebanyak RM86.6 juta dan RM40.6 juta. 

 

"Tiga sektor merekodkan aliran masuk bersih asing pada minggu lalu iaitu perkhidmatan kewangan sebanyak RM99.2 juta diikuti pembinaan (RM11.1 juta) dan tenaga (RM5.3 juta). 

 

"Sementara itu, tiga sektor yang mencatat aliran keluar bersih pula ialah perladangan (RM15.9 juta), telekomunikasi dan media (RM13.8 juta) dan utiliti (RM6.7 juta)," katanya dalam laporan itu hari ini.

 

Firma itu mendapati pelabur institusi tempatan menjadi penjual bersih ekuiti pada minggu lalu sebanyak RM124.4 juta. 

 

Mereka memulakan dagangan dengan pembelian bersih ekuiti sebanyak RM19.2 juta pada Selasa sebelum menjual bersih ekuiti pada Rabu hingga Jumaat.

 

Pelabur runcit pula sebaliknya kekal optimis dengan membeli ekuiti tempatan setiap hari berjumlah RM52.1 juta pada minggu lalu.

 

Dari segi pergerakan pelabur, terdapat peningkatan nilai purata dagangan harian (ADTV) dalam kalangan pelabur runcit sebanyak 0.8% tetapi pelabur institusi tempatan dan asing masing-masing mencatat penurunan 17.6% dan 19.4%.  - DagangNews.com