Kolaborasi jenama tempatan strategi unggul tarik lebih ramai pelanggan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Kolaborasi jenama tempatan strategi unggul tarik lebih ramai pelanggan

Gandingan Hausboom dan Hikari Riders adalah antara contoh kolaborasi strategik majukan jenama tempatan. - Gambar FB Hikari Riders
Oleh Muhamad Nasrullah Zamri

Di Malaysia, kolaborasi jenama tempatan semakin diiktiraf sebagai strategi unggul dalam memacu pertumbuhan pasaran dan memperkukuhkan daya saing dalam landskap perniagaan yang kompleks.

 

Kerjasama ini tidak hanya membuka peluang untuk meluaskan pengaruh jenama, tetapi turut menjadi wahana penting bagi menghasilkan produk yang inovatif, berdaya cipta, dan relevan dengan kehendak pasaran semasa.

 

Dalam era digital yang penuh cabaran, kolaborasi antara jenama tempatan memainkan peranan sebagai pemangkin untuk mengoptimumkan kehadiran di platform media sosial, sambil memperluaskan jangkauan kepada audiens yang lebih pelbagai dan global.

 

Sebagai contoh, jenama SVG Worldwide yang dikenali dengan identitinya dalam fesyen jalanan dan budaya urban, telah berjaya membentuk kerjasama strategik dengan pelbagai jenama terkemuka tempatan seperti Stoned, Supersunday, Asly dan Opt Jersey untuk menghasilkan koleksi edisi terhad yang bukan sahaja unik tetapi juga reka bentuk asli.

 

 

svg

 

 

Pendekatan inovatif ini bukan sahaja menarik perhatian generasi muda yang gemar dengan fesyen, tetapi juga mengukuhkan kedudukan SVG Worldwide  sebagai salah satu pemain utama dalam industri fesyen jalanan tempatan.

 

Begitu juga, kolaborasi antara Hausboom, sebuah syarikat minuman tempatan, dan Hikari Riders, jenama pakaian yang dimiliki oleh vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh, telah mencipta impak yang luar biasa dengan pelancaran produk edisi terhad yang menggabungkan gaya hidup motosikal dengan elemen fesyen kasual.

 

Salah satu pencapaian utama mereka ialah pengenalan "Hausboom Corduroy Hat" dengan rekaan eksklusif, yang dipasarkan secara terhad.

 

Selain itu, kolaborasi mereka sempena acara Art of Speed 2024 turut menampilkan produk ikonik seperti "Hausboom Minyak Hitam" dan "Hausboom x Hikari Riders Workshirt," yang berjaya menarik perhatian audiens acara tersebut.

 

 

Art of Speed 2024

 

 

Melalui strategi ini, kedua-dua jenama berjaya memperluaskan pengaruh mereka dalam kalangan pelanggan tempatan dan menonjolkan keunikan identiti masing-masing.

 

Namun begitu, secara umum, terdapat juga kolaborasi jenama tempatan yang tidak mencapai kejayaan seperti yang diharapkan.

 

Cabaran

Kolaborasi jenama di Malaysia masih berdepan dengan pelbagai cabaran yang berpotensi menghalang usaha ini daripada mencapai potensi sepenuhnya.

 

Antara cabaran utama termasuk kesukaran dalam menyelaraskan identiti jenama dalam kalangan rakan kolaborasi, kelemahan dalam strategi pemasaran digital, serta ketiadaan elemen inovasi yang mampu membezakan produk dalam pasaran yang semakin kompetitif.

 

Jika cabaran-cabaran ini tidak ditangani dengan pendekatan yang lebih strategik, kolaborasi bukan sahaja berisiko gagal memberikan impak positif, malah boleh merosakkan reputasi kedua-dua pihak yang terlibat.

 

Untuk menangani cabaran ini, beberapa langkah strategik boleh diambil.

 

  1. Pemilihan rakan kolaborasi harus dilakukan dengan teliti, memastikan keserasian nilai, matlamat, dan identiti antara jenama.
     
  2. Pemasaran digital perlu dimanfaatkan secara optimum melalui platform popular seperti Instagram, TikTok, dan YouTube untuk melancarkan kempen kreatif dan menarik.
     
  3. Kerjasama dengan pencipta kandungan serta pempengaruh yang relevan juga dapat meningkatkan kesedaran jenama secara organik.
     
  4. Selain itu, pendekatan penghasilan produk edisi terhad atau eksklusif wajar dipertimbangkan untuk mencipta elemen kelangkaan yang mampu menarik minat pelanggan.
     
  5. Dalam masa yang sama, komitmen terhadap kualiti dan inovasi produk harus dikekalkan, kerana ini merupakan faktor utama dalam mengekalkan kepercayaan dan sokongan pengguna dalam jangka panjang.

 

Potensi Besar

Secara keseluruhannya, kolaborasi jenama tempatan di Malaysia memiliki potensi besar untuk memacu inovasi dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi kreatif negara.

 

Kejayaan jenama seperti SVG Worldwide , Hausboom, dan Hikari Riders membuktikan bahawa kerjasama strategik mampu memperluaskan capaian pasaran, meningkatkan kesedaran jenama, serta memperkukuhkan reputasi perniagaan tempatan.

 

Dengan pelaksanaan strategi yang terancang dan komitmen tinggi terhadap kualiti serta kreativiti, jenama tempatan berupaya mencipta impak yang lebih besar, bukan sahaja di peringkat domestik, tetapi juga di pentas global.

 

Jika digerakkan dengan bijaksana, kolaborasi ini mampu menjadikan jenama tempatan sebagai lambang keunggulan, inovasi, dan kebanggaan negara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab kreatif serantau. - DagangNews.com

 

Muhamad Nasrullah Zamri adalah Pensyarah Jabatan Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perak