Perjanjian gencatan senjata pada 28 Julai antara Kemboja dan Thailand yang dimeterai di bawah Pengerusi ASEAN oleh Malaysia dijangka memberi manfaat ekonomi segera dan jangka sederhana kepada rantau ini.
Walaupun aliran perdagangan rasmi dan pasaran sempadan masih dalam proses pemulihan, penyelesaian konflik ini telah meningkatkan sentimen pelabur di seluruh ASEAN, menurut pakar ekonomi dan penganalisis serantau.
Perjanjian gencatan senjata itu — yang dicapai dengan sokongan diplomatik daripada Amerika Syarikat dan China — telah menerima pujian antarabangsa terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau. Jabatan Negara Amerika Syarikat dalam satu kenyataan awam berkata:
"Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim atas kepimpinan beliau dan kerana menjadi tuan rumah kepada rundingan gencatan senjata ini."
"Amerika Syarikat akan terus komited dan terlibat dalam proses yang dianjurkan bersama oleh AS–Malaysia untuk menamatkan konflik ini."
Keyakinan Pelabur dan Pemulihan Perdagangan
Ahli ekonomi terkemuka, Shan Saeed yang juga Ketua Ekonomi di Juwai IQI Global, berkata kejayaan diplomatik ini berpotensi mengembalikan momentum ekonomi di sepanjang koridor yang terjejas serta meningkatkan semangat pasaran serantau.
“Malaysia telah menunjukkan kepimpinan global dalam menyelesaikan konflik ini secara diplomatik,” kata beliau kepada DagangNews.com.
“Rakyat dari kedua-dua negara sangat gembira dengan berita gencatan senjata ini. Ia menjadi petanda baik kepada rantau ASEAN di persada global.”

Di kawasan yang sebelum ini terjejas akibat penempatan tentera dan gangguan pos pemeriksaan, para peniaga kecil, pengeluar pertanian dan pengusaha logistik dijangka mula menyambung semula operasi mereka secara berperingkat, khususnya di sepanjang koridor perdagangan Mekong dan IMT-GT.
“Sentimen pelabur di seluruh ASEAN dijangka meningkat dengan ketara,” kata Saeed. “Kepimpinan yang ditonjolkan Malaysia bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan diplomatiknya, malah membuktikan potensi ASEAN sebagai perantara damai yang boleh dipercayai.”
Lonjakan kepada Identiti Institusi ASEAN
Di luar kawasan sempadan, gencatan senjata ini memberi kemenangan penting kepada ASEAN di peringkat antarabangsa. Dengan ekonomi ASEAN dijangka melebihi AS$4.2 trilion dalam jumlah KDNK menjelang akhir tahun, rantau ini semakin menjadi perhatian global dalam menangani risiko keselamatan.
“Insiden ini membuktikan bahawa kelebihan ASEAN bukan hanya terletak pada demografi dan pertumbuhan – tetapi pada kestabilan, integrasi dan kematangan multilateralisme,” kata Saeed lagi.
Beliau berkata, kejayaan ini mengukuhkan lagi nilai RCEP dan rangka kerja ekonomi serantau lain, di samping memperkasakan penjenamaan ASEAN sebagai zon pelaburan yang berpaksikan peraturan serta selamat dalam dunia yang bergolak.
Modal Diplomatik Malaysia Meningkat
Konflik tersebut berpunca daripada ketegangan sempadan yang berpanjangan di sekitar Kuil Preah Vihear, Tapak Warisan Dunia UNESCO yang dituntut oleh kedua-dua Kemboja dan Thailand. Sengketa ini pernah mencetuskan pertempuran berdarah termasuk pada tahun 2008 dan 2011.
Kebangkitan semula konflik pada Julai 2025 menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan peperangan berskala besar sehingga Malaysia menganjurkan rundingan tergempar di Putrajaya.
“Malaysia telah memainkan peranan utama dalam menyelesaikan konflik ini dengan jayanya dan meletakkan namanya di persada diplomasi global,” ujar Saeed.
“PM Anwar wajar menerima pengiktirafan global kerana berjaya menamatkan konflik ini. Kepimpinan strategik bermula dari Malaysia.”
Peranan Malaysia, yang turut disokong oleh Washington dan Beijing, mencerminkan saat jarang berlaku di mana kuasa besar dunia bersatu sekali gus mengesahkan potensi ASEAN untuk mencari penyelesaian berasaskan kerjasama serantau.

Masa Depan: Keamanan Menjana Dividen
Gencatan senjata ini mungkin membuka jalan kepada pelaburan infrastruktur yang lebih mendalam dan kepelbagaian perdagangan, terutamanya di sepanjang koridor sub-serantau seperti Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
“Ekonomi yang berpaksikan keamanan memberi pulangan lebih tinggi dalam jangka panjang dan memberi manfaat kepada masyarakat di semua peringkat,” rumus Saeed.
Ketika modal global mencari rantau yang stabil dari segi politik dan mempunyai asas ekonomi kukuh, ASEAN yang diperkukuh oleh diplomasi Malaysia kini tampil sebagai komuniti ekonomi yang semakin berdaya tahan dan sedang meningkat naik. - DagangNews.com








