Dalam era di mana industri perlu berubah dengan pantas, syarikat yang mengutamakan inovasi dan pembangunan bakat akan lebih berpotensi untuk berada pada kedudukan yang lebih baik untuk berjaya.
Satu daripada syarikat yang melaksanakan kedua-dua inovasi dan pembangunan bakat yang sedemikian ialah FGV Palm Industries Sdn Bhd (FGVPI).
FGVPI telah melaksanakan satu projek yang menukar proses manual kepada sistem bacaan automatik. Inisiatif ini bukan sahaja telah meningkatkan kecekapan produksi tetapi juga meningkatkan standard keselamatan di FGVPI.
Yang menariknya dalam pelaksanaan projek di FGVPI ini, ia telah dilaksanakan oleh seorang pengurus tajaannya iaitu Rosliezan Md Husain dan dijayakan semasa proses pengajian beliau dalam program Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di sebuah institusi pengajian tinggi negara di Azman Hashim International Business School, Universiti Teknologi Malaysia (AHIBS, UTM).
Di tengah-tengah transformasi FGVPI ini, kita dapat melihat syarikat mempercayai bahawa kakitangannya adalah merupakan aset yang berharga. Keputusan FGVPI untuk menaja pekerjanya mencerminkan falsafah ini.
Penajaan sebegini bukan sekadar mengambarkan tanda muhibah, tetapi ia juga merupakan satu pelaburan strategik dalam meningkatkan modal insan dan pertumbuhan organisasi.

Dari Bilik Darjah ke Kilang Sawit
FGVPI merupakan anak syarikat FGV Holdings Berhad (FGV), salah satu syarikat terkenal dalam pengeluaran minyak daripada hasil kelapa sawit di Malaysia.
FGVPI menggunakan pelbagai mesin untuk memproses buah sawit untuk pengeluaran minyak. Satu daripada transformasi untuk meningkatkan produksi minyak sawit yang diidentifikasi oleh FGVPI adalah projek untuk menggantikan proses manual dengan teknologi pembacaan automatik.
Automasi di FGVPI ini telah dapat mengurangkan kesilapan manusia, meminimumkan bahaya di tempat kerja dan mencipta sistem yang lebih dipercayai untuk operasi kerana kaedah manual secara tradisional terdedah kepada ralat dan kelewatan.
Selaras dengan hasrat syarikat, Rosliezan, pelajar tajaan FGVPI, telah menjalankan projek MBA beliau secara penyelidikan tindakan. Beliau mengkaji bagaimana aplikasi automasi boleh melancarkan proses aliran kerja sedia ada sambil meningkatkan kecekapan kos dan kemampanan operasi.
Projek penyelidikan ini bukan sahaja dapat memberikan pemakluman yang lebih mendalam kepada syarikat, tetapi ia juga dapat memastikan projek yang dijalankan dapat memberikan peningkatan yang boleh diukur dari segi produktiviti, keselamatan dan daya saing yang dapat memberi manfaat jangka panjang kepada syarikat.
Penyepaduan penyelidikan akademik dengan keperluan korporat ini menunjukkan nilai program penajaan di mana pengetahuan tidak hanya dihadkan di dalam bilik darjah tetapi ia harus digunakan terus untuk mengatasi cabaran dunia sebenar.
Pelaburan Pada Bakat Dalaman
Perjalanan Rosliezan dalam menjayakan projek penyelidikan dan menamatkan pengajian MBA di AHIBS UTM bukan dihadapi beliau tanpa cabaran. Beliau belajar sambil bekerja sepenuh masa. Ini sudah tentunya memerlukan disiplin yang tinggi terutamanya dalam pengurusan masa. Namun, beliau telah berjaya dalam kedua-dua domain ini.
Secara peribadi, pengajiannya dapat memperkayakan pengetahuan beliau, dan pada masa yang sama projek syarikat yang dijalankan juga dapat menyumbang kepada prestasi profesionalnya. Keseimbangan ini mempamerkan sinergi antara pendidikan tinggi dan prestasi di tempat kerja.

Memandangkan Rosliezan menggunakan cerapan bilik darjah pada projek automasi FGVPI, beliau bukan sahaja memenuhi syarat pengajian, tetapi ia juga menyumbang kepada pencapaian petunjuk prestasi utama syarikat.
Projek automasi sejajar secara langsung dengan KPI syarikat serta selaras dengan perkembangan teknologi yang pesat.
Pendekatan ini juga menyumbang kepada kos efektif kerana ia bukan sahaja menjimatkan kewangan syarikat, tetapi ianya juga dapat membina kepakaran dalaman. Daripada mengupah perunding luar, FGVPI memperkasakan pekerjanya sendiri untuk mengetuai transformasi.
Universiti juga mendapat manfaat melalui yuran pengajian para pelajar yang ditaja oleh syarikat. Ini adalah penting kerana universiti perlu memperoleh sokongan kewangan kerana pembiayaan pendidikan semakin terhad dewasa ini.
Di samping sokongan kewangan, universiti juga mendapat manfaat dari segi akademik dan reputasi. Penyelidikan tindakan yang membawa cabaran dunia sebenar ke dalam bilik darjah dapat memperkayakan pembelajaran dan impak kepada pemegang taruh.
Pertukaran seperti ini dapat merapatkan jurang antara teori dan amalan dan mengukuhkan peranan universiti sebagai hab untuk inkuiri akademik dan kerjasama industri.
Projek penyelidikan tindakan ini menunjukkan bahawa penajaan pekerja bukan semata-mata dapat meningkatkan diri pekerja tersebut, tetapi ia harus pada masa yang sama dapat melahirkan pemimpin yang boleh mengemudi syarikat melalui perubahan dan cabaran yang sedang dihadapi.
Meninjau kepada faedah penajaan syarikat menerusi penyelidikan tindakan dalam membangunkan bakat dalaman, ia menampilkan satu model menang-menang yang perlu dicontohi.
Tajaan Pekerja Bukan Sekadar Ijazah
Memandangkan universiti menghadapi cabaran untuk mencari sumber kewangan dan industri bergelut dengan peralihan teknologi yang pantas, jalinan sokongan antara kedua-duanya menjadi lebih penting.
Tajaan syarikat kepada pekerja-pekerja mereka untuk menyambung pengajian dapat menyediakan aliran pendapatan yang mampan kepada universiti. Ia juga boleh memastikan program pendidikan kekal bersesuaian dengan keperluan pasaran pekerjaan hasil daripada input langsung yang didapati daripada pemain industri.

Di samping itu juga, syarikat seperti FGVPI memperoleh cerapan daripada akademia, mewujudkan gelung maklum balas yang berterusan di mana pengetahuan digunakan, diuji dan diperhalusi dalam amalan. Model ini bukan sahaja menyokong keperluan perniagaan semasa, tetapi ia juga dapat membina daya tahan untuk masa hadapan.
Pembangunan bakat mesti dilihat bukan hanya sebagai pilihan, tetapi ia harus dilihat sebagai asas daya saing. Pekerja yang diberi penajaan harus kembali sebagai penyelesai masalah, inovator dan pekerja yang boleh menjalankan kerja dengan lebih berkesan.
Seperti yang ditunjukkan oleh kejayaan Rosliezan, penajaan bukan hanya tentang memperoleh kelayakan akademik melalui sekeping ijazah, namun ia perlu digandingkan dengan transformasi organisasi.
Jika lebih banyak syarikat menggunakan pendekatan penajaan dengan pemilihan program akademik yang bersesuaian seperti inisiatif yang dilakukan oleh FGVPI, maka kita akan dapat melihat impak positif yang lebih besar terhadap tenaga kerja dan ekonomi Malaysia. - DagangNews.com








