Bulan Ramadan sebagai potensi melonjakkan jualan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bulan Ramadan sebagai potensi melonjakkan jualan

Oleh Mohammad Sufian Abdul Manan

Umat Islam di Malaysia mula berpuasa pada 2 Mac 2025. Bagi sesetengah peniaga, kehadiran bulan Ramadan merupakan tempoh untuk mereka berehat dan fokus kepada ibadat.

 

Namun, ada juga peniaga yang menggunakan kehadiran bulan Ramadan sebagai satu rahmat untuk mereka ‘buat duit’ melalui perniagaan.

 

Tidak kira sama ada perniagaan makanan mahupun baju raya. Pada bulan Ramadan ini, tapak-tapak Bazar Ramadan akan dibuka dan dianjurkan bagi membolehkan masyarakat setempat mendapatkan juadah berbuka puasa.

 

Juadah yang ditawarkan juga pelbagai. Daripada nasi dan lauk pauk, kepada kuih muih tradisional serta moden, makanan tular hinggalah air minuman yang beraneka jenis semuanya dikumpulkan di bawah bazar Ramadan.

 

Selain itu, tapak-tapak ekspo jualan Hari Raya Aidilfitri turut dianjurkan. Para peniaga di tapak-tapak ekspo Aidilfitri ini lazimnya menjual baju raya, biskut raya, kerepek, air minuman berkarbonat hinggalah kepada mercun dan bunga api (lesen dan permit khas).

 

Bagi peniaga yang mempunyai kedai kekal mahupun gerai kekal, mereka mempunyai lebih banyak kelebihan kerana makanan serta gerai mereka sudah tentu sedia dikenali oleh masyarakat setempat.

 

Bonus jika masyarakat turut mengenali kedai atau gerai tersebut disebabkan makanan yang sedap, harga yang berpatutan serta khidmat berkualiti yang diberikan kepada para pelanggan.

 

 

parafrasa
Tajuk berita yang ramai risau kerana tahu harga makanan di bazar ramadan adalah mahal.

 

Kepentingan promosi kepada peniaga

Promosi merupakan elemen terakhir jika kita maklum tentang ‘marketing mix’ yang merujuk kepada 4 unsur utama yang digunakan oleh perniagaan untuk mempengaruhi keputusan pembelian pelanggan dan seterusnya mencapai matlamat pemasaran.

 

Empat unsur ini dikenali sebagai 4P iaitu produk (product), harga (price), tempat (place), dan promosi (promotion).

 

Mengapa sesebuah perniagaan atau gerai ini merosot hingga akhirnya ada yang terpaksa ditutup? Sedangkan pemilik perniagaan menawarkan produk yang menarik. Harga produk pula berpatutan.

 

Selain itu, lokasi gerai juga berada di lokasi yang strategik dan menjadi tumpuan masyarakat, seperti di tengah-tengah pekan atau bandar. Ini tidak lain kerana kurangnya kefahaman peniaga berkenaan promosi ataupun peniaga tidak mengambil serius terhadap aspek promosi.

 

Inilah perkara penting yang kerap para perniaga terlepas pandang. Pada awal gerai anda dibuka tidak kira gerai makanan ataupun di ekspo Aidilfitri, sudah pasti pengunjung akan memenuhi gerai anda untuk mencuba dan membuat penilaian menerusi pembelian mereka.

 

Namun lama-kelamaan anda memerlukan promosi bagi meneruskan kelangsungan perniagaan anda sepanjang bulan Ramadan.

 

Memanfaatkan penggunaan media sosial

Dalam era ledakan teknologi maklumat dan media sosial, adalah satu kerugian jika para peniaga tidak memanfaatkan penggunaan media sosial untuk perniagaan masing-masing.

 

Anda tidak perlu menjadi seorang pempengaruh media sosial, memadai anda mempunyai kemahiran dan ilmu menguruskan laman-laman sosial tersebut serta berani untuk berhadapan khalayak warganet atau netizen.

 

Ilmu media sosial ini anda boleh dapati melalui kursus-kursus yang dianjurkan di bawah Kursus Pendek Kolej Komuniti atau yang dianjurkan oleh Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI).

 

parafrasa

 

Yang menariknya, kedua-dua agensi ini menawarkan kursus secara percuma ataupun dengan yuran kursus yang sangat berpatutan khususnya kepada masyarakat setempat.

 

Banyak media sosial diwujudkan dan sangat membantu pengusaha gerai seperti Facebook (promosi perniagaan, menu ditawarkan, maklumat perniagaan dan waktu operasi perniagaan, lokasi perniagaan, gambar makanan, gambar pelanggan, tawaran istimewa bulanan, video ‘live’ gerai), Instagram (sama seperti Facebook tetapi lebih ringkas, mengutamakan gambar), TikTok (video gerai, video makanan, video ‘live’ gerai, temubual pelanggan istimewa) dan banyak lagi.

 

Semua media sosial ini adalah percuma kecuali apabila anda mengaktifkan fungsi untuk bisnes, anda akan mula dikenakan bayaran.

 

Selain itu, para peniaga turut boleh mempelajari ilmu media sosial ini melalui video perkongsian yang dimuatnaik oleh jurulatih atau pakar pemasaran media sosial di laman Youtube, dan video-video ini adalah percuma.

 

Apa yang diperlukan ialah peniaga mempunyai kemudahan talian internet. Dengan kemajuan teknologi masa kini yang berkembang pesat, seseorang itu boleh terus memuat naik gambar, video dan status perkongsian ke media sosial hanya menggunakan telefon pintar, berbanding memerlukan komputer riba atau komputer desktop sebelum ini sewaktu teknologi telefon pintar belum berkembang pesat.

 

Peniaga juga seharusnya memanfaatkan penggunaan aplikasi seperti rekabentuk gambar dan poster menerusi Canva, pembuat gambar AI dan pembuat seni AI seperti Bing AI, ChatGPT dan lain-lain untuk menjana penulisan dan pemasaran.

 

Aplikasi ini dapat digunakan bersama media sosial terutama dalam membuat poster dan penulisan pemasaran bagi gerai jualan.

 

Memanfaatkan penggunaan kain rentang dan gegantung

Salah satu masalah yang sering berlaku ialah pembeli atau bakal pembeli tidak dapat melihat makanan ataupun barangan ekspo yang dijual daripada jauh dan terpaksa datang lebih dekat ke meja jualan untuk melihat barangan yang dijual.

 

Perkara ini akan menjadi lebih mudah sekiranya para peniaga memanfaatkan penggunaan kain rentang dan gegantung dengan memaparkan tulisan dan gambar produk makanan ataupun barangan yang dijual.

 

Melalui penggunaan kain rentang dan gegantung, ia bukan saja dapat memberi gambaran awal kepada pembeli tentang produk makanan yang dijual, bahkan ia juga secara tidak langsung berperanan sebagai alat pemasaran yang berkesan apabila ia memaparkan gambar makanan yang menarik, membuka selera, bahan dan ramuan yang banyak, hiasan makanan yang cantik serta ditulis dengan tulisan yang jelas.

 

Ini mampu menarik pelanggan ke gerai sebelum pelanggan melihat sendiri meja jualan.

 

parafrasa

 

Selain itu, modal yang dikeluarkan oleh peniaga untuk memasang kain rentang dan gegantung akan diganti dengan hasil jualan yang meningkat dan pengunjung yang bertambah disebabkan kaedah promosi ini.

 

Penggunaan kain rentang sangat penting bukan sahaja sebagai ‘salam perkenalan’ oleh para peniaga di bazar Ramadan ataupun di ekspo Aidilfitri, bahkan boleh dimanfaatkan oleh peniaga kecil yang berniaga juadah berbuka puasa di hadapan rumah sama ada di pekan mahupun kampung kepada bakal pembeli.

 

Sebagai penutup, bulan Ramadan sebenarnya membuka peluang yang luas kepada para peniaga untuk menjana keuntungan asalkan bijak mengaplikasikan penggunaan media sosial yang terbukti mampu membuahkan hasil yang berlipat ganda. - DagangNews.com
 

Mohammad Sufian Bin Abdul Manan merupakan Penolong Pendaftar Kanan di Penerbit UiTM, Universiti Teknologi MARA