Bolehkah nama saintifik diubah seperti menukar nama jalan raya? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bolehkah nama saintifik diubah seperti menukar nama jalan raya?

Oleh Dr. Nik Norhazrina Nik Mohd Kamil, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Mohamed Abdul Majid dan Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff Mohamad

Tular di media sosial cadangan supaya nama genus Rafflesia yang mengandungi lebih daripada 40 spesies tumbuhan terbesar di dunia yang ikonik di Malaysia dan negara lain di Asia Tenggara itu ditukarkan kepada suatu nama yang tidak dikaitkan dengan tokoh penjajah Sir Stamford Raffles bagi menyahkan unsur penjajahan.

 

Kedengaran agak menarik bukan? Hal ini kerana, kita telah mencapai kemerdekaan pada tanggal 31 Ogos 1957, yang mana negara kita, Malaysia akan menyambut ulang tahun ke-68 tidak lama lagi. Jadi, kenapa perlu kita kekalkan nama penjajah tersebut? Hakikatnya dalam dunia sains, menukar nama saintifik sesuatu organisma tidaklah semudah itu. 

 

Mengikut sejarah, pada tahun 1818, bunga Rafflesia telah ditemukan di Bengkulu, Sumatera oleh sekumpulan pegawai penjajah Inggeris yang telah menjalankan suatu ekspedisi ke Sumatera.

 

Kumpulan itu terdiri daripada ahli botani Inggeris bernama Joseph Arnold, yang mana ekspedisi hutan tersebut telah ditaja oleh Sir Stamford Raffles, iaitu penaung ekspedisi dan juga Kolonial Inggeris pada ketika itu. Nama genus bagi bunga Pakma itu telah diberikan oleh Robert Brown sebagai Rafflesia sempena nama Sir Stamford Raffles dan nama spesies pula Rafflesia arnoldii sempena nama Joseph Arnold, serta telah diterbitkan dengan sah dalam “Transactions of the Linnean Society of London” pada tahun 1821 bagi menghormati kedua-dua individu tersebut.

 

 

 Sir Stamford Raffles
                 Sir Stamford Raffles

 


Setelah itu, nama tersebut telah digunakan secara meluas dalam penerbitan buku, monograf dan juga makalah jurnal di rantau Asia Tenggara dan antarabangsa, serta diiktiraf masyarakat saintifik antarabangsa sejak lebih dua abad. 

 

Dalam bidang sains botani, peraturan dan prinsip penamaan tumbuhan telah ditentukan oleh International Code of Nomenclature for algae, fungi, and plants (ICN), yang mana, sebelum tahun 2011, ia dikenali sebagai International Code of Botanical Nomenclature (ICBN). Kod ini diselia oleh International Association for Plant Taxonomy (IAPT).

 

Laman web https://www.iapt-taxon.org/nomen/main.php boleh dilayari bagi memahami dengan lebih mendalam berkenaan kod antarabangsa ini (Turland et al. 2018). Berdasarkan ICN dan IAPT, penukaran nama sains semata-mata atas alasan politik, emosi mahupun sejarah adalah tidak dibenarkan sama sekali. 

 

Nama saintifik adalah mengikut tatanama yang telah dipiawaikan, uninomial bagi nama genus, yang mana dalam bahasa Latin “uni” bermaksud “satu” dan spesies dalam binomial, “bi” bermaksud “dua” dan “nomen” bermaksud “nama”.

 

Ini bermakna, ia terdiri daripada satu nama bagi genus dan dua nama bagi spesies. Perkataan pertama ialah nama genus, yang mana huruf pertamanya sahaja ditaip dengan huruf besar, selebihnya huruf kecil (Contoh: Rafflesia arnoldii).

 

 

parafrasa

 

 

Manakala, perkataan kedua ialah epitet spesies, yang mana kesemua huruf ditaip dengan huruf kecil. Kedua-dua perkataan ini hendaklah ditaip condong (italic) atau jika ditulis tangan, hendaklah digaris perkataan pertama dan perkataan kedua untuk membezakan daripada bahasa lain.

 

Tatanama binomial ini telah diperkenalkan oleh Carl Linnaeus yang digelar “Bapa Taksonomi”. Beliau telah menerbitkan buku bertajuk “Species Plantarum” pada tahun 1753, yang menjadi asas kepada penamaan saintifik tumbuhan.

 

Sistem yang diperkenalkan ini menjadikan komunikasi saintifik seragam, universal dan stabil di seluruh dunia bagi mengelakkan kekeliruan disebabkan oleh pelbagai nama tempatan telah digunakan yang merujuk kepada tumbuhan yang sama. 

 

Tambahan pula, kestabilan nama saintifik bukan sahaja penting untuk komunikasi akademik, malah ia turut menjadi asas kepada usaha pemuliharaan global.

 

Nama Rafflesia digunakan dalam senarai merah IUCN (International Union for Conservation of Nature), perjanjian antarabangsa seperti CITES (Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora), serta pangkalan data kepelbagaian biologi dunia.

 

 

International Union for Conservation of Nature

 

 

Sekiranya nama ini ditukar, ia akan menjejaskan penguatkuasaan undang-undang pemuliharaan rentas negara dan menyukarkan penyelidik untuk menelusuri rekod terdahulu, termasuk dalam kajian perubatan dan biokimia.

 

Oleh itu, kestabilan nama saintifik adalah prasyarat kepada kelangsungan sains dan pemuliharaan.

 

Justeru, penukaran nama akan menimbulkan kekeliruan global dan menjejaskan kesinambungan ilmu pengetahuan sains kerana nama saintifik tersebut telah diguna pakai secara meluas dalam komuniti saintifik.

 

 

parafrasa


 

 

Mustahil

Justeru, penukaran nama saintifik Rafflesia adalah mustahil.

 

Walaupun nama Rafflesia tidak boleh ditukar dengan sewenang-wenangnya, kita boleh menonjolkan identiti Malaysia dengan mengangkat nama tempatannya iaitu “Pakma” sebagai simbol budaya dan warisan negara.

 

Misalnya, dalam promosi tahun melawat Malaysia oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya.
 

 

AAX

 


Mengikut Jeffrey (1973), nama genus atau spesies boleh ditukar atas dua alasan sahaja. Pertama atas alasan tatanama dan kedua atas alasan taksonomi.  Alasan tatanama bermaksud nama yang diberikan itu tidak mengikut kod atau nama itu telah memberi banyak masalah kepada para pengguna selepas ia diterbitkan.

 

Alasan taksonomi bermaksud bukti daripada ciri lain seperti molekul telah memaksakan pertukaran harus dibuat – contoh Shorea telah dipecahkan kepada Shorea s.s., Anthoshorea, Rubroshorea dan Richetia.

 

Walau bagaimanapun, dalam kes-kes tertentu, penukaran nama saintifik dibolehkan, iaitu jika terdapat:

  1. Sinonim – Lebih daripada satu nama diterbitkan yang merujuk kepada tip spesimen tumbuhan yang sama, jadi mengikut prinsip keutamaan, nama yang paling awal diterbitkan akan digunakan.
     
  2. Homonim – Nama saintifik yang sama digunakan bagi tumbuhan-tumbuhan yang berbeza, bermaksud nama tersebut telah wujud sebelumnya, jadi nama yang diterbitkan lebih lewat dianggap tidak sah dan mesti diberi nama baharu.
     
  3. Penemuan baharu hasil penyelidikan molekul DNA – Pembuktian bahawa tumbuhan-tumbuhan tersebut tidak monofiletik (datang daripada leluhur yang sama/nenek moyang sepunya) berdasarkan pohon filogeni/klad yang dibina. Sebelum pendekatan molekul diperkenalkan seiring arus pemodenan teknologi, ciri-ciri morfologi telah digunakan bagi penamaan dan pengelasan.

 

Kesimpulannya, penukaran nama saintifik hanya boleh dilakukan jika ada bukti saintifik yang kukuh dan mengikut peraturan ICN dengan merujuk kepada basionim, spesimen tip serta huraian dan penerbitan yang sah.

 

 

 

 

 

 

Hal ini bukan sahaja penting untuk menjamin kesinambungan sejarah penamaan, malah untuk memastikan usaha pemuliharaan dan penyelidikan di peringkat antarabangsa tidak terganggu.

 

Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin, adalah lebih baik kita menggembleng tenaga bagi pemeliharaan dan pemuliharaan bunga Pakma atau Rafflesia yang kini diancam kehilangan habitat.

 

Dengan cara ini, generasi akan datang dapat melihat sendiri keunikan tumbuhan ikonik ini dan pada masa yang sama, nama saintifiknya terus berfungsi sebagai jambatan ilmu dan pemuliharaan di seluruh dunia. - DagangNews.com

 

 

parafrasa
(Kiri): Dr. Nik Norhazrina binti Nik Mohd Kamil
Pensyarah Kanan di Jabatan Sains Biologi dan Bioteknologi, Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau juga adalah Penyelaras Herbarium UKMB dan Penyelaras Hubungan Antarabangsa di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia, 43600 UKM Bangi, Selangor, Malaysia

(Tengah): Profesor Emeritus Dato’ Dr. Haji Mohamed bin Abdul Majid
Felo Penyelidik Universiti Brunei Darussalam Botanical Research Centre, Brunei dan Mantan Pensyarah di Fakulti Sains, Universiti Malaya

(Kanan): Profesor Emeritus Dato’ Dr. Abdul Latiff bin Mohamad
Felo Penyelidik Geotaman dan Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia 
​​​​​