TAHUN 2025 ini , Malaysia bukan sekadar menjadi hos kepada ASEAN, tetapi turut menggalas tanggungjawab strategik untuk mencorakkan semula hala tuju tenaga kerja rantau ini.
Inisiatif seperti ASEAN Year of Skills 2025 membuka platform baharu untuk mengarusperdanakan pembangunan kemahiran masa depan, seiring dengan tuntutan era digital dan peralihan kepada ekonomi hijau.
“Tanpa pelaksanaan yang menyeluruh dan inklusif, Malaysia berisiko ketinggalan dalam revolusi pekerjaan digital dan hijau.”
Malaysia kini berada pada kedudukan yang cukup strategik — didukung oleh ekosistem TVET yang semakin diperkukuh serta pelbagai dasar tenaga kerja yang progresif. Namun, persoalan besar yang timbul ialah: apa implikasinya jika pelaksanaan agenda ASEAN ini tidak berjalan seperti yang dirancang?

Manfaat Besar Untuk Malaysia
Agenda ASEAN 2025 ini menyentuh terus kepada keperluan semasa negara, khususnya dalam membina ekosistem pembangunan sumber manusia yang lebih mampan, inklusif dan berdaya saing. Tiga kelompok utama dijangka meraih manfaat besar daripada pelaksanaan inisiatif ini:
Agensi Kerajaan
Antara agensi utama yang terlibat termasuk Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta TalentCorp. Melalui pelaksanaan ASEAN 2025, agensi-agensi ini bakal mendapat akses kepada:
- Platform kerjasama rentas sempadan dalam bidang pembangunan kemahiran, penyelidikan dasar, dan pembangunan tenaga kerja.
- Dana latihan serantau dan geran ASEAN yang boleh digunakan untuk memperkukuh latihan tenaga kerja tempatan, termasuk pensijilan industri yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
- Sokongan teknikal dan pertukaran kepakaran antara negara anggota ASEAN yang dapat mempercepat reformasi sektor pendidikan dan latihan.
Peluang ini membolehkan Malaysia bukan sahaja menyesuaikan diri dengan standard serantau, tetapi juga menjadi peneraju dalam mencorakkan dasar sumber manusia yang progresif di rantau ini.
Institusi Pendidikan dan Latihan
Institusi pendidikan tinggi dan penyedia latihan kemahiran – termasuk universiti awam dan swasta, politeknik, kolej komuniti, dan pusat latihan TVET – akan mendapat manfaat daripada:
- Peluang penyelarasan semula kurikulum agar selari dengan keperluan industri ASEAN yang kian beralih kepada ekonomi digital, automasi dan pekerjaan hijau.
- Peningkatan kerjasama akademik dan industri, termasuk program pertukaran pelajar dan tenaga pengajar, serta kolaborasi dalam penyelidikan berkaitan kebolehpasaran graduan dan kemahiran masa depan.
- Pengiktirafan silang kelayakan dan kompetensi, yang memberi laluan kepada pelajar dan graduan untuk memasuki pasaran kerja serantau dengan lebih mudah.
Langkah ini penting untuk memastikan institusi pendidikan bukan sahaja melahirkan tenaga kerja tempatan yang berkualiti, tetapi juga mampu bersaing di peringkat antarabangsa.
Sektor Swasta dan Golongan Belia Pekerja
Bagi sektor industri, terutamanya syarikat kecil dan sederhana (PKS), GLC dan syarikat multinasional, manfaat yang diperoleh termasuk:
- Peningkatan akses kepada tenaga kerja mahir, terutamanya dalam bidang strategik seperti AI, tenaga boleh diperbaharui, dan perkhidmatan kesihatan digital.
- Insentif latihan dan kemahiran, sama ada melalui subsidi atau geran serantau, untuk melatih semula pekerja sedia ada agar sejajar dengan perubahan teknologi.
- Peluang membina jaringan kerjasama serantau, termasuk melalui program apprenticeship dan latihan praktikal dengan rakan kongsi ASEAN.
Sementara itu, bagi golongan belia, B40 dan pekerja sektor tidak formal seperti gig economy, agenda ini memberi akses kepada program latihan yang lebih bersasar, pensijilan kemahiran, dan laluan kerjaya yang lebih terjamin. Ia membuka ruang kepada peningkatan mobiliti sosial dan memperkasa golongan yang sebelum ini terpinggir daripada sistem pendidikan formal.
Selari dengan Dasar Malaysia
Berikut beberapa dasar di Malaysia yang menyokong kepada perkara ini, termasuk:
- Dasar TVET Negara 2022–2030
- Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030)
- Dasar Belia Negara
- Dasar Pendigitalan Sumber Manusia
Gabungan ini memperlihatkan betapa serasinya kerangka ASEAN 2025 dengan hala tuju domestik negara.
Risiko Jika Gagal Dilaksanakan
Namun, risiko tetap ada. Kegagalan melaksanakan agenda ASEAN 2025 secara menyeluruh boleh membawa implikasi serius terhadap pembangunan tenaga kerja dan daya saing ekonomi Malaysia. Antara risiko utama yang dikenal pasti termasuk:
- Masalah ketidakpadanan kemahiran, ketirisan bakat dan peningkatan jurang kemahiran (skills mismatch). Isu ini telah diketengahkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), yang menekankan bahawa ketidakseimbangan antara kemahiran yang ditawarkan oleh tenaga kerja dan kemahiran yang dituntut oleh industri boleh mengakibatkan pengangguran, produktiviti rendah dan penghijrahan bakat ke luar negara (DOSM, 2025).
- Penurunan keyakinan industri terhadap dasar kerajaan
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, menyatakan bahawa pelabur memerlukan dasar yang konsisten dan responsif. Sebarang kelemahan dalam pelaksanaan dasar boleh merosakkan persepsi pelabur terhadap kestabilan ekonomi negara.
- Ketinggalan dalam revolusi pekerjaan hijau dan digital
Tanpa langkah bersedia dan pelaksanaan dasar latihan semula (reskilling) dan peningkatan kemahiran (upskilling), Malaysia berisiko untuk tidak dapat memenuhi keperluan pekerjaan dalam sektor baharu seperti teknologi hijau, ekonomi digital dan automasi. Kajian oleh UTHM menunjukkan lebih 600,000 pekerjaan di Malaysia akan berubah disebabkan impak AI dan peralihan teknologi menjelang 2030 (UTHM News, 2025).
- Belia dan pekerja tidak formal terus terpinggir dari peluang pembangunan kemahiran
Sekiranya tiada dasar inklusif yang menyasarkan golongan belia dan sektor tidak formal, jurang kemahiran akan terus melebar. Penyelidikan oleh UKM menunjukkan bahawa pekerja sektor tidak formal sering terpinggir daripada program pembangunan kemahiran dan jaminan sosial (UKM, 2024).
Pelan Mitigasi: Jika Gagal, Apa Tindakan Malaysia?

Bagi memastikan negara tidak terkandas jika pelaksanaan tergendala, beberapa pelan mitigasi boleh dirangka:
Bil | Mitigasi | Penjelasan |
1 | Perluasan Program Micro-credentials & e-Learning | Memberi akses pembelajaran digital kepada belia dan pekerja di luar bandar tanpa bergantung sepenuhnya kepada program fizikal ASEAN. |
2 | Dana Peralihan & Insentif Latihan TVET Nasional | Menggantikan dana serantau yang tertangguh dengan pembiayaan khas kerajaan serta pengecualian cukai untuk latihan kemahiran. |
3 | Kerjasama Dua Hala | Jika kerangka ASEAN tidak cekap, Malaysia boleh teruskan kerjasama langsung dengan negara ASEAN lain melalui perjanjian dua hala. |
4 | Pemerkasaan Pihak Berkuasa Tempatan dan Institusi Latihan Negeri | Memberi kuasa autonomi untuk melaksanakan inisiatif kemahiran secara tempatan berdasarkan keperluan setempat. |
Tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025 adalah satu ujian.
Tetapi jika diurus dengan bijak, ia juga adalah peluang keemasan untuk Malaysia membina semula kekuatan tenaga kerjanya – bukan hanya untuk negara ini, tetapi untuk rantau Asia Tenggara secara keseluruhan. - DagangNews.com








