Ahli Parlimen: Berbahas, berhujahlah seperti intelektual bukan terjerit terpekik | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ahli Parlimen: Berbahas, berhujahlah seperti intelektual bukan terjerit terpekik

Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

Tahun 1981 kekal abadi dalam ingatan saya, seperti ukiran halus di dinding waktu yang enggan luntur dimamah usia. Saya ketika itu hanyalah seorang remaja nakal dari Sekolah Menengah Teknik Kuantan yang lebih gemar berjenaka dan mengelak daripada kelas prep, daripada menjadi murid teladan yang patuh pada jadual dan buku teks.

 

Namun dalam kelalaian yang disengajakan itu, terselit percikan bakat yang saya sendiri tidak menyedarinya – bakat berkata-kata, berbahas, berpidato, berhujah dan memukau khalayak dengan lidah yang bersahaja.

 

Saya tidak pernah ke asrama penuh, walau pernah ke Maktab Tentera. Disiplin ketat bagaikan jeriji besi buat jiwa saya yang cinta pada kebebasan. Saya lebih rela ponteng kelas demi membaca buku-buku pilihan di Perpustakaan Awam Kuantan – tempat yang menjadi benteng ilmu sebenar bagi saya ketika itu. Di situ, saya belajar menilai dunia dan menghimpun kosa kata yang akhirnya menjadi senjata paling tajam di medan pidato.

 

Tahun itu, saya memasuki pertandingan pidato peringkat negeri di Raub, bersaing secara individu. Dengan hanya persediaan seadanya, saya melangkah ke pentas tanpa jangkaan tinggi, hanya berbekalkan lidah yang petah, akal yang spontan, dan jenaka yang bijaksana.

 

Alhamdulillah, saya diumumkan sebagai pemidato terbaik negeri Pahang – satu kejayaan yang langsung tidak saya duga, malah menjadi titik perubahan dalam hidup saya sebagai seorang remaja. Waktu itu, ramai peminat dari seluruh Pahang dan ada yang menghantar surat tetapi saya tidak membalas.

 

May be an image of 2 people and people standing

 

Waktu itu juga saya mewakili sekolah dalam Pertandingan Bahas Piala Sultan Pahang. Kami sampai ke peringkat separuh akhir dan meraih tempat ketiga setelah berkunjung ke banyak sekolah di Pahang.

 

Saya masih ingat bagaimana idea datang bagaikan gerimis di musim tengkujuh – tenang tapi deras, menyusup ke segenap ruang bicara. Lawan saya dari sekolah lain pernah menghampiri seusai debat dan berkata, “Awak pembahas terbaik hari ini. Saya tak sangka boleh suka pada lawan saya sendiri.” Kata-kata itu lebih berharga daripada pingat atau piala.

 

Saya tidak pernah bersungguh-sungguh dalam belajar, namun pada penggal pertama tingkatan lima, saya mendapat tempat pertama dalam kelas setelah teruk kena ragging dan buli pada tingkatan lima sepanjang tahun.

 

Itulah ironi yang mempesona. Mungkin kerana saya banyak membaca di luar buku teks – biografi, sejarah dunia, sastera klasik, dan falsafah. Dunia perpustakaan lebih jujur dalam mendidik jiwa dan akal saya berbanding bilik darjah yang kaku.

 

Saya sering ponteng prep malam. Tetapi bukan untuk bermain. Saya balik ke asrama lebih awal agar dapat tidur sebentar, lalu bangun sebelum subuh untuk ke surau – bukan kerana wara’ atau alim, tetapi kerana mahu mengelak berebut tandas. Namun dalam diam-diam, tabiat itu menanam satu bentuk disiplin spiritual yang tidak saya sedari ketika itu.

 

May be an image of 5 people and sushi
Kawan sekelas bertemu tahun 2025

 

Kerana menjadi pengawas sekolah dan pengawas asrama, guru-guru sering ‘melepaskan’ saya apabila ponteng waktu belajar atau prep. Pernah saya terserempak dengan cikgu yang sedang memeriksa asrama, tetapi beliau hanya mengangguk dan berlalu.

 

Ada juga insiden lebih lucu: ketika seorang cikgu menampar pelajar yang ponteng, saya pula dibiar untuk tidur tanpa sebarang hukuman, walau turut bersalah. Saya tahu itu bukan keadilan mutlak, tetapi mungkin kerana saya ‘pembahas sekolah’, saya menikmati keistimewaan yang tidak tertulis dalam buku peraturan.

 


Reunion tahun 2024

 

Paling saya ingat ialah ketika pengetua sendiri menangkap saya ponteng waktu sekolah. Bukannya dimarah atau didenda, beliau menghantar saya terus ke sekolah dan berpesan agar tidak mengulanginya. Senyum beliau bagaikan mengakui bahawa saya bukan pelajar biasa, walau kelakuan saya biasa-biasa sahaja.

 

Di New Zealand, saya pernah mengikuti kelab bahas di Universiti Waikato tetapi dalam bahasa Inggeris buat saya hanya mendengar kerana belum fasih berhujah.

 

No photo description available.
Reunion dengan batch sekolah

 

Satu ketika selepas tamat zaman sekolah, saya pernah ditawarkan untuk terlibat dalam politik oleh Allahyarham Tan Sri Jamaluddin Jarjis. Mungkin kerana bakat berpidato yang masih melekat.

 

Namun saya hanya bertahan sebulan – dunia politik bukan untuk saya. Ia tidak sebersih podium perbahasan sekolah. Ia lebih celaru, sarat tipu helah dan permainan bayangan. Lidah yang jujur dan hati yang ikhlas seperti tidak punya tempat di pentas itu.

 

No photo description available.
Reunion kelas 5B 2024

 

Kini, saya hanya mampu tersenyum membaca kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang memuji pelajar sekolah dalam pertandingan akhir Bahas Piala Perdana Menteri ke-50.

 

Beliau menyebut bahawa para pelajar itu berbahas dengan bijak, tenang dan beradab – jauh lebih terhormat daripada banyak ahli parlimen kita hari ini yang sering menjadikan jeritan dan cercaan sebagai ganti hujah. Kata Anwar, perbahasan tidak perlu menghina atau menggunakan agama sebagai pelindung kelakuan tidak beretika. Saya bersetuju sepenuhnya.

 

Dewan Rakyat seharusnya menjadi podium perbahasan tertinggi negara – bukan medan memaki hamun. Saya yang pernah menjadi pembahas remaja dahulu tahu, bahawa kekuatan hujah bukan datang dari suara tinggi, tetapi dari isi yang berasaskan fakta, logik dan adab.

 

Malangnya, ramai yang memegang kuasa hari ini tidak pernah dididik dalam seni berhujah yang benar. Mereka tidak pernah belajar bahawa kalah dalam debat bukan kalah sebagai manusia – tetapi sebahagian daripada keindahan demokrasi.

 

Saya teringat kembali keindahan zaman bahas sekolah: penyelidikan hujah, latihan berpasukan, sesi soal jawab yang tajam tetapi sopan, dan penutup yang menggugah jiwa. Semua itu melatih saya bukan sahaja untuk bercakap, tetapi untuk menjadi manusia.

 

Ya, menjadi manusia yang tahu menilai perbezaan pendapat tanpa menghina, manusia yang boleh tidak bersetuju tanpa perlu memutuskan silaturahim.

 

Saya percaya, perbahasan sekolah – jika benar-benar disemai – mampu melahirkan generasi pemimpin masa depan yang lebih bijak dan berhemah. Ia bukan sekadar pertandingan, tetapi medan latihan untuk fikiran dan akhlak. Pelajar belajar mendengar, meneliti, dan menilai – tiga kemahiran yang makin terpinggir dalam dunia dewasa kita hari ini.

 

Perbahasan telah mengubah hidup saya. Walau saya akhirnya belajar di New Zealand, kejayaan saya bukan bermula dari dewan kuliah universiti, tetapi dari dewan sekolah di Raub dan Kuantan.

 

Dari pentas sederhana yang memberi saya ruang untuk bersuara, berfikir, dan memahami bahawa ilmu bukan hanya dari buku, tetapi dari keberanian menyampaikan dan mempertahankan kebenaran.

 

Kini di senja usia, dengan tubuh yang tidak lagi segagah dulu, saya masih memandang ke belakang dengan rasa syukur. Bahas telah menjadikan saya manusia yang bebas berfikir, meski dulu saya murid yang malas belajar. Bahas telah mengajar saya adab dalam berselisih, walau saya pelajar yang sering ponteng. Dan bahas telah memberi saya suara – bukan untuk menjadi ahli politik, tetapi untuk menjadi saksi zaman.


 

Xi

 


Semoga generasi muda hari ini kembali menghargai seni perbahasan. Semoga mereka belajar bahawa berhujah bukan sekadar berlawan kata, tetapi satu bentuk ibadah ilmu yang suci. Dan semoga ahli-ahli parlimen kita, yang dewasa usianya, dapat belajar dari anak-anak sekolah tentang bagaimana menjadi manusia yang benar-benar beradab ketika bersuara.

 

Kerana dalam dunia yang penuh dengan kekeliruan dan bising, adab dan hujah yang bernas adalah cahaya yang akan terus memandu kita semua. - DagangNews.com