OpenSys dapat kelulusan pemegang saham pindah penyenaraian ke Papan Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

OpenSys dapat kelulusan pemegang saham pindah penyenaraian ke Papan Utama Bursa Malaysia

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Sept - OpenSys (M) Bhd. menjangkakan pemindahan penyenaraian ke Papan Utama Bursa Malaysia daripada Pasaran ACE dapat diselesaikan pada Oktober ini. 

 

Syarikat penyedia perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan utiliti itu mendapat kelulusan pemegang saham dalam mesyuarat agung luar biasa (EGM) hari ini untuk pindaan perlembagaan syarikat bagi memudahkan pelaksanaan cadangan penyenaraian pemindahan dan sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitan kumpulan.

 

 

eric lim
ERIC LIM

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif OpenSys, Eric Lim berkata, pemindahan penyenaraian itu akan meningkatkan reputasi dan pengiktirafan kumpulann serta penerimaan dalam kalangan pelabur.

 

Katanya, kumpulan akan terus meningkatkan prospek pendapatan dan kedudukan sebagai penyedia penyelesaian menyeluruh untuk industri perkhidmatan kewangan, telekomunikasi dan utiliti.

 

"Jualan CRM kekal kukuh, kerana kami telah melihat aktiviti perolehan bank disambung semula untuk tiga suku berturut-turut sejak suku keempat 2021.

 

"Kami berada di landasan yang betul untuk menyampaikan kira-kira 400 unit CRM dan perkakasan berkaitan menjelang akhir 2022 dan sedang berunding untuk melengkapkan lebih banyak bank dengan CRM," katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

OpenSys ialah peneraju pasaran dalam pelancaran CRM di Malaysia dengan lebih daripada 80% bahagian pasaran. 

 

CRM ialah mesin dwi-fungsi yang digunakan di bank dan institusi kewangan untuk menggantikan mesin deposit tunai dan dipensari.

 

Ia membolehkan wang tunai yang didepositkan dikitar semula dan diagihkan semula kepada pelanggan yang mengeluarkan wang tunai, meningkatkan kecekapan dan masa operasi serta menjimatkan bank sehingga 30% ke atas kos operasi.

 

Lim berkata, kumpulan juga mencapai kemajuan yang baik dalam projek SmartCIT setelah melengkapkan pelancaran ke lebih daripada 100 cawangan Tenaga Nasional Bhd. di seluruh negara. - DagangNews.com