Nissan panggil semula 4,001 Serena S-Hybrid versi CBU | DagangNews Skip to main content

Nissan panggil semula 4,001 Serena S-Hybrid versi CBU

Oleh JOHARDY IBRAHIM
editor@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 6 Ogos 2020 – Edaran Tan Chong Motor Sdn Bhd (ETCM) bersama Tan Chong Ekspres Auto Servis Centre (TCEAS), memanggil semula model Nissan Serena S-Hybrid (C26) varian import sepenuhnya (CBU) untuk memprogramkan semula Unit Kawalan Continuously Variable Transmission (CVT).

Dalam kenyataan hari ini, ETCM berkata, segala kos buruh dan alat ganti (jika ada) untuk kempen servis ini adalah percuma dan proses memprogramkan semula akan menggambil masa kira-kira 45 minit.

``Siasatan telah dilakukan oleh Nissan Motor Co. Ltd dan kira-kira 4,001 buah kenderaan Nissan Serena S-Hybrid (C26) varian CBU dari Japan telah dikenal pasti terjejas dalam kempen panggil semula ini,'' kata ETCM.

nis

Nissan Serena S-Hybrid (C26) varian pemasangan tempatan sepenuhnya (CKD) yang dilancarkan di Malaysia pada November 2014 dan Nissan Serena S-Hybrid (C27) varian CKD yang dilancarkan pada Mei 2018 serta model jualan yang lain tidak terjejas dalam kempen ini.

Pelanggan Nissan Serena S-Hybrid (C26) varian CBU yang terlibat akan dimaklumkan menerusi surat, SMS atau Whatsapp dari TCEAS. Pelanggan digalakkan supaya menghubungi cawangan TCEAS yang terdekat untuk membuat temu janji.

Demi kemudahan pelanggan, TCEAS yang terpilih juga telah melanjutkan waktu operasi dan kini dibuka sepanjang 365 hari agar pelanggan boleh menyelenggarakan kenderaan pada hujung minggu dan cuti umum serta meningkatkan kapasiti dalam tempoh kempen panggil balik ini.

Memandangkan pemilikan kenderaan mungkin berubah dari masa ke semasa, pemilik baru model ini digalakkan menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Nissan di talian tol percuma 1800-88-3838 untuk menyemak sama ada Nissan Serena S-Hybrid (C26) varian CBU mereka terlibat dalam kempen panggil balik ini. 

 

nis

 

ETCM dan TCEAS menegaskan bahawa ketenangan minda dan keyakinan pelanggan menjadi keutamaan syarikat dan amat kesal atas segala kesulitan yang timbul.


"Kami juga komited dalam memastikan keselamatan pelanggan, servis dan kepuasan pelanggan adalah keutamaan kami. Kami akan bekerjasama untuk mengatasi masalah ini secepat mungkin,'' kata ETCM. - DagangNews.com