KUALA LUMPUR 3 Nov - Majikan diseru memahami kepentingan program latihan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) supaya para pekerja mempunyai pengetahuan dan kemahiran diperlukan untuk mengenal pasti serta menangani bahaya yang berpotensi berlaku di tempat kerja.
Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) berkata, majikan digalakkan untuk mengamalkan kaedah Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC) yang boleh membantu mereka mengenal pasti hazard, menilai risiko yang berkaitan dengan hazard tersebut dan melaksanakan langkah kawalan yang berkesan.
Katanya, dengan mengamalkan HIRARC, majikan juga boleh mengurangkan risiko dan meningkatkan keselamatan di tempat kerja secara proaktif.
"NIOSH turut menggalakkan majikan melabur dalam program latihan komprehensif bagi memperkasa pekerja mereka untuk membuat pilihan yang lebih selamat dan mengambil langkah-langkah yang sewajarnya untuk melindungi diri dan rakan sekerja mereka," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Terdahulu, NIOSH menzahirkan rasa dukacita terhadap tragedi yang meragut nyawa tiga pekerja warga Bangladesh akibat tertimbus tanah runtuh semasa menjalankan kerja pembinaan lebuh raya di Machang, Kelantan semalam.
Dilaporkan lubang yang digali tiba-tiba runtuh dan menimbus mereka dalam insiden yang berlaku pada waktu tengah hari berhampiran Kampung Maka, Pulai Chondong.
Menurut NIOSH, insiden tragik tersebut menunjukkan kepentingan untuk majikan mematuhi Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 yang bertujuan memastikan keselamatan dan kesejahteraan pekerja di semua tempat kerja.

Katanya, di bawah akta yang dipinda tersebut, tanggungjawab majikan telah diperluaskan merangkumi kontraktor, subkontraktor dan pekerja yang diupah.
"Peranan penyelia keselamatan tapak bina juga sangat penting dalam mengawasi dan memastikan persekitaran kerja yang selamat, kerana mereka bertanggungjawab memantau pematuhan protokol keselamatan, menjalankan pemeriksaan keselamatan dan memastikan semua pekerja dimaklumkan tentang bahaya yang mungkin berlaku," katanya.
Katanya, adalah penting bagi majikan untuk melantik individu yang bertanggungjawab dan kompeten sebagai penyelia keselamatan tapak bina demi mencegah kemalangan tragik seperti yang berlaku di Machang.
"NIOSH sentiasa bersedia untuk memberikan bimbingan, latihan dan bantuan kepada majikan dan pekerja bagi memastikan pematuhan peraturan berkaitan KKP," katanya.
Tambahnya, pihaknya percaya setiap pekerja berhak menikmati tempat kerja yang selamat dan sihat kerana usaha menjadikannya kenyataan adalah tanggungjawab semua pihak. - DagangNews.com








