KUALA LUMPUR 30 Mac - Persatuan Sastera Lisan Malaysia (PERSALIMA) melantik Ninot Aziz sebagai presiden baharu bagi menggantikan Sasterawan Negara, Prof Muhammad Salleh yang menerajui persatuan itu sejak 2010 hingga tahun lepas.
Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) persatuan tersebut baru-baru ini, Muhammad yang juga Pengasas dan Penasihat Tetap PERSALIMA bersama Ninot berusaha merancakkan semula persatuan dengan Wacana Ilmu bulanan 'Antara Langit dan Bumi serta mengumpul sebanyak mungkin kisah cerita rakyat Malaysia hampir 100 suku/bahasa yang wajib dipelihara.
Ninot berkata, terdapat tiga perkara penting yang menjadi keutamaan, pertama, misi merancakkan apresiasi sastera lisan dalam kalangan generasi muda.
Katanya, ia merangkumi mereka dari persembahan teater budaya dan tukang cerita yang menghidupkan sastera rakyat seperti Anak Raja Gondang dari Makyung, Wayang Kulit dan Mek Mulung.
"Keduanya, merancakkan kegiatan dan juga memperkasa bahasa melalui karya dan penerbitan buku bertemakan warisan sastera lisan.
"Ketiga, PERSALIMA akan memastikan aktiviti yang berkualiti serta seminar untuk merancakkan perbincangan tentang sastera rakyat tempatan dan serantau demi kesejahteraan dan perpaduan masyarakat," katanya dalam kenyataan.
Ninot turut menzahirkan penghargaan kepada Muhammad yang membawanya menyertai PERSALIMA setahun yang lepas.

Tambah beliau, pihaknya juga berazam membawa cerita rakyat ke alam siber dan atas talian.
Pada 2022, PERSALIMA menganjurkan Persidangan Sastera Kebangsaan bersama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang mana aktiviti bulanan merangkumi Wacana Ilmu juga telah diadakan.

Persatuan juga bakal mengusahakan buletin setiap suku tahun serta perkongsian media sosial dengan semua ahli.
Tahun ini, persatuan mengadakan seminar antarabangsa melalui kerjasama dengan DBP, yang mana buat pertama kali tokoh Mak Yong yang juga merupakan Ketua Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kelantan, Rosnan Rahman membuat pembentangan di Seminar Sastera Kebangsaan pada Disember. - DagangNews.com








