KUALA LUMPUR 17 Feb - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap MyEG Services Bhd. dengan harga sasaran RM1 memandangkan prospek kumpulan kekal stabil di sebalik cadangan Jabatan Imigresen meneruskan rancangan untuk mengembalikan sepenuhnya semua perkhidmatan dan proses imigresen di bawahnya menjelang 2025.
Malah, firma itu percaya kumpulan masih mempunyai prospek yang cerah dalam segmen perniagaan berkaitan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Imigresen sehingga 2026.
"Kami berpendapat risiko penyingkiran perkhidmatan konsesi berkaitan imigresen dan pengangkutan menjelang 2025 telah mencerminkan kelemahan baru-baru ini dalam harga sahamnya.
"Oleh itu, sebarang penurunan harga selanjutnya memberi peluang kepada pelabur untuk mengumpul sahamnya pada harga diskaun," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada 6 Februari lalu, kerajaan dilaporkan bercadang menyatukan semua perkhidmatan dan proses imigresen termasuk pembaharuan pasport, permohonan visa serta permohonan dan pembaharuan permit pekerja asing di bawah Sistem Imigresen Bersepadu Kebangsaan (NIISe) menjelang 2025.
Namun, MyEG menjelaskan tiada sebarang perbincangan antara Lembaga Pengarahnya dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) atau Jabatan Imigresen mengenai cadangan kerajaan menyatukan semua transaksi imigresen di bawah NIISe.
Susulan itu, harga sahamnya menjunam ke paras terendah sejak November 2020, susut 26.7% kepada 70 sen dalam penutupan pada 7 Februari lalu.
Menurut MIDF Research, dalam taklimat dengan pengurusan kumpulan baru-baru ini, MYEG menyatakan perniagaan utamanya yang menjana pendapatan iaitu segmen pengangkutan jalan dan imigresen sedang menjalani proses pembaharuan.
"Kumpulan juga yakin akan mendapat lanjutan tiga tahun lagi untuk konsesi e-kerajaan pada Mei 2023 ini berdasarkan rekod prestasinya yang kukuh," tambahnya.
Sebelum ini, MyEG memperoleh perjanjian konsesi selama 15 tahun bagi perkhidmatan e-kerajaan pada 2000 dan dilanjutkan lagi enam tahun pada 2014.
"Kami menjangkakan ini dapat dicapai berdasarkan rekod prestasinya dalam industri serta perkhidmatan pendigitalan yang berterusan seperti pengenalan terbaharu sistem e-ujian JPJ, yang kini dijalankan dalam skala kecil di bawah perintis ini," jelasnya.
Selain itu, ia juga berkata, MyEG menjangkakan sumbangan yang lebih tinggi daripada perkhidmatan pemadanan pekerjaan pekerja asing dan pembaharuan permit kerja dalam tempoh satu atau dua suku berikutnya memandangkan pembukaan semula sempadan dan pengambilan pekerja asing yang kurang ketat.
Pada masa sama, tambahnya, penglibatan kumpulan juga dilihat semakin agresif dalam inisiatif blockchain dengan menjangkakan sumbangan pendapatan yang ketara daripada pembangunan Web3 pada separuh kedua tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23).
Firma itu juga optimis dengan prospek jangka panjang MyEG di Filipina disokong jumlah penduduk di negara itu yang ramai, meningkatkan keperluan terhadap perkhidmatan digital dan internet baharu dalam pasaran.
Setakat 12.11 tengah hari, harga sahamnya susut 1 sen atau 1.46% kepada 67.5 sen dengan 48.01 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








