Muslim Pro, UNICEF jalin kerjasama kumpul dana bantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Yaman, Afghanistan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Muslim Pro, UNICEF jalin kerjasama kumpul dana bantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Yaman, Afghanistan

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 April - Aplikasi gaya hidup Islam, Muslim Pro menandatangani perkongsian usaha sama selama setahun dengan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) bagi mengumpul dana untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di Yaman dan Afghanistan.

 

Muslim Pro menggesa pengguna untuk menderma kepada UNICEF bagi membantu kanak-kanak yang terjejas dan kurang bernasib baik. Sepanjang pengumpulan dana Ramadan, pengguna globalnya digalakkan untuk menyumbang kepada kerja-kerja amal UNICEF.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia, Fara Abdullah berkata, terdapat berjuta kanak-kanak di Yaman, Syria dan Afghanistan yang sangat memerlukan bantuan kemanusiaan. 

 

"Sebagai jenama muslim global yang berkhidmat kepada masyarakat Islam di seluruh dunia, adalah penting bagi Muslim Pro untuk bangkit dan turut membawa impak yang besar dan bermanfaat kepada kanak-kanak dalam masyarakat tersebut.

 

"Kami berharap dapat bekerjasama dengan UNICEF pada masa akan datang dan menggalakkan komuniti global untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik dalam apa jua cara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Selepas dua dekad konflik dan berdasarkan perkembangan politik dan sosioekonomi baru-baru ini, keadaan kemanusiaan Afghanistan telah merosot dengan ketara. Perkhidmatan penting pula hampir musnah dan kira-kira 12.9 juta kanak-kanak Afghanistan memerlukan bantuan kemanusiaan untuk terus hidup.

 

Rayuan Tindakan Kemanusiaan Afghanistan untuk Kanak-kanak (HAC) oleh UNICEF adalah yang terbesar dalam sejarah organisasi.

 

Konflik Yaman berlangsung selama 7 tahun lamanya dan 20.7 juta orang termasuk 11.3 juta kanak-kanak memerlukan bantuan kemanusiaan segera. Oleh kerana kemusnahan dan penutupan sekolah dan hospital menyebabkan kanak-kanak lebih terdedah dan masa depan mereka diragut. 

 

Hampir 4 juta orang, separuh daripadanya adalah kanak-kanak, telah dipindahkan menjadikan Yaman sebagai populasi berpindah secara dalaman keempat terbesar di dunia. 

                                                

Selain menyokong keperluan kecemasan segera kanak-kanak, yang mana akses kepada makanan dan air sangat terhad, rayuan UNICEF bertujuan untuk melihat perkembangan jangka panjang Yaman dan Afghanistan serta masa depan kanak-kanak di kedua-dua negara.

 

Kempen ini menandakan kerjasama berterusan Muslim Pro dengan UNICEF sebagai sebahagian daripada kempen Ramadan UNICEF. Perkhidmatan ini termasuk:


1. Perkhidmatan air kecemasan, sanitasi dan kebersihan (WASH)


2. Perkhidmatan kesihatan penting melalui pasukan kesihatan atau klinik bergerak


3. Kanak-kanak menerima perkhidmatan segera dan kecemasan, seperti bantuan tunai kemanusiaan, pengangkutan, dan rujukan kepada perkhidmatan perubatan dan lain-lain.


4. Penyediaan makanan terapeutik sedia ada untuk digunakan kepada kanak-kanak yang kekurangan zat makanan


5. Memudahkan akses vaksinasi polio kepada kanak-kanak yang tidak divaksinasi

 

Ketua Pegawai Eksekutif Bitsmedia, Nik Emir Din pula berkata, pihaknya gembira melihat aplikasi mereka terus memberi sokongan dan bantuan yang besar kepada umat Islam di seluruh dunia, kerana ciri-ciri aplikasi itu dapat membantu merapatkan jarak fizikal dalam amalannya.

 

Pengguna Muslim Pro boleh menderma kepada UNICEF sepanjang Ramadan sehingga akhir April melalui pautan dalam aplikasi di (https://bit.ly/3JdwAbf) untuk menyokong tindak balas kecemasan di Yaman, Syria, dan Afghanistan. - DagangNews.com