KUALA LUMPUR 7 Sept - Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN), Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau peniaga-peniaga kecil di Setapak Jaya, satu daripada kawasan atau wilayah ‘bebas berniaga’ di Kuala Lumpur, semalam.
Dalam satu hantaran video, bekas Perdana Menteri tersebut kelihatan beramah mesra dengan para peniaga yang menjual pelbagai aneka makanan, minuman, kudapan dan buah-buahan tempatan.
“Alhamdulillah, saya merasa amat gembira apabila rata-rata peniaga yang ditemui menyatakan kehidupan mereka kembali bersinar melalui kebenaran menjalankan perniagaan yang diberikan kerajaan.
“Tambahan lagi, hampir kesemua yang meniaga menceritakan mereka sudah menerima sekurang-kurangnya satu suntikan dos vaksin,” katanya dalam hantaran video di Facebook miliknya.
KLIK DI SINI UNTUK VIDEO
Beliau berkata, keceriaan yang terpamer pada wajah peniaga-peniaga kecil tersebut menunjukkan tanda-tanda pemulihan ekonomi negara semakin jelas.
“Saya amat menghargai usaha Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang memberi kebenaran kepada warga kota untuk membuka gerai atau perniagaan secara kecil-kecilan di mana-mana kawasan yang sesuai dalam tempoh ditetapkan di sekitar bandar raya tanpa dikenakan sebarang bayaran,” katanya.
Katanya, sebagai Pengerusi MPN, beliau akan memastikan sektor dan peniaga-peniaga kecil terus dibantu dalam setiap perancangan kerajaan dalam usaha membawa negara keluar dari kemelut ekonomi kesan daripada pandemik COVID-19.
“Ruang yang luas perlu diberikan kepada usahawan dan peniaga kecil ini untuk menjalankan perniagaan, seiring hasrat kerajaan memastikan mereka terus berupaya menjana pendapatan.
“Saya juga bangga melihat SOP diamalkan oleh para peniaga dan juga pembeli, yang kesemuanya memakai pelitup muka dan menjaga penjarakan fizikal dalam berurusniaga,” tambahnya.
Beliau berkata, langkah untuk terus membantu peniaga kecil akan terus dibangkitkannya dalam mesyuarat pertama MPN yang bakal diadakan dalam masa terdekat.
“Insya-Allah, langkah yang sewajarnya akan saya ambil dalam perancangan kita untuk memastikan lebih banyak sektor ekonomi, sosial, kesihatan, pendidikan, kebudayaan dan lain-lain kembali pulih sebagaimana sebelum pandemik COVID-19 melanda negara,” katanya. - DagangNews.com








