KUALA LUMPUR 13 Sept - Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempersoalkan tindakan kerajaan dalam mengawal harga beras dan mengatasi masalah lambakan beras import berharga premium di pasaran.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, sehingga kini tiada tindakan segera daripada kerajaan bagi meredakan keresahan rakyat terhadap kekurangan bekalan beras tempatan.
"Beras adalah makan ruji rakyat dan ia adalah barang terkawal.
"Takkanlah tidak ada satu tindakan tegas daripada kerajaan untuk mengawal harga beras agar ia tidak menjadi terlalu mahal sehinggakan tidak mampu dibeli oleh rakyat," katanya semasa perbahasan pembentangan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menaikkan harga jualan beras putih import kepada RM3,200 per tan metrik berkuatkuasa mulai 1 September.
Muhyiddin berkata, walaupun data eKasih menunjukkan bilangan ketua isi rumah (KIR) miskin tegar berdaftar telah berkurang daripada 124,744 kepada 118,217 KIR sehingga Mei 2023, namun dengan kenaikan harga barang yang keterlaluan, terutamanya barangan makanan serta keperluan harian seperti beras menyukarkan langkah kerajaan bagi menoktahkan kemiskinan pada tahun ini.
Beliau juga mempersoalkan sama ada garis kemiskinan yang digunapakai untuk menentukan status kemiskinan isi rumah masih realistik dengan mengambil kira kenaikan harga barang dan kadar inflasi semasa.
"Realitinya, model pembasmian kemiskinan telah berubah daripada fokus kepada pendapatan isi rumah semata-mata kepada kemiskinan pelbagai dimensi termasuk miskin pendidikan, miskin kesihatan, miskin keperluan asas dan miskin taraf hidup.
"Justeru, model pembasmian kemiskinan yang realistik mestilah diwujudkan terlebih dahulu sebelum berjanji untuk menoktahkan kemiskinan," katanya. - DagangNews.com








