MRCB miliki prospek cerah dalam bidaan kontrak MRT3 - RHB Investment | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MRCB miliki prospek cerah dalam bidaan kontrak MRT3 - RHB Investment

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 21 Feb - RHB Investment Research melihat Malaysian Resources Corp. (MRCB) masih memiliki kelebihan dalam bidaan kontrak MRT3, berdasarkan kepada statusnya sebagai salah satu syarikat kontraktor bumiputera terbesar di negara ini. 

 

Selain itu, menurutnya, peranan kumpulan untuk membangunkan semula kompleks sukan Shah Alam mungkin lebih mahal daripada RM787 juta yang dicadangkan sebelum ini oleh Kerajaan Negeri Selangor pada Julai 2022. 

 

Firma itu menganggarkan cadangan pembangunan semula berkemungkinan menelan kos sekitar RM1 bilion. 

 

"Namun, kami masih belum mengaitkan sebarang anggaran pendapatan daripada kompleks sukan Shah Alam ini sementara menantikan butiran lebih lanjut berhubung (nilai kontrak dan pertukaran tanah) yang mungkin akan didedahkan pada suku kedua 2023," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Nilai kontrak pembinaan MRCB setakat akhir tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) adalah berjumlah RM6.4 bilion (tidak termasuk projek Bukit Jalil Sentral). 

 

Jumlah itu memberi keterlihatan pendapatan selama tiga tahun kepada kumpulan, dengan jumlah nilai tender terbuka sebanyak RM30 bilion.

 

Secara keseluruhan, RHB Investment mengekalkan saranan 'beli' terhadap MRCB dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak 45 sen. 

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih MRCB bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2022 susut 82.7% kepada RM13.02 juta daripada RM75.21 juta dengan pendapatan juga susut kepada RM833.94 juta daripada RM858.12 juta. 

 

Kumpulan itu mengaitkan keuntungan yang lebih rendah itu disebabkan kejatuhan dalam pendapatan operasi lain, yang merosot sebanyak 88% kepada RM17.01 juta daripada RM146.09 juta setahun sebelumnya. 

 

Tetapi perbelanjaan cukai yang lebih rendah sebanyak RM24.64 juta membantu mengurangkan penguncupan pendapatan. Ia mencatatkan perbelanjaan cukai sebanyak RM49.46 juta pada tahun lalu.

 

Bagaimanapun, untung bersihnya bagi tahun kewangan penuh FY22 meningkat kepada RM64.85 juta daripada RM15.83 juta pada tahun sebelumnya manakala pendapatan naik 121% kepada RM3.21 bilion daripada RM1.45 bilion sebelum ini.

 

RHB Investment menyifatkan keuntungan teras FY22 sebanyak RM64.8 juta adalah memenuhi unjurannya tetapi tersasar daripada jangkaan konsensus, masing-masing merangkumi 103% dan 92% daripada anggaran tahun kewangan penuh.

 

"Namun, kami menyukai MRCB kerana kumpulan mengembangkan cabang hartanahnya kepada hartanah perindustrian, antaranya, Taman Bersepadu Ipoh Raya dan berkembang dalam pasaran luar negara seperti Australia dan New Zealand (dengan keseluruhan nilai pembangunan kasar sebanyak RM1.5 bilion).

 

"Pemangkin akan datang ialah pengembalian semula kerja yang ditinggalkan untuk projek LRT3 kira-kira RM1 bilion," tambahnya.

 

Setakat 11.31 tengah hari ini, harga saham MRCB kekal tidak berubah pada 32.5 sen dengan 6.6 juta saham diniagakan. - DagangNews.com