Mitsui labur AS$58 juta dalam Axiata Digital & Analytics | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Mitsui labur AS$58 juta dalam Axiata Digital & Analytics

Vivek Sood dan Pegawai Urusan, Ketua Pegawai Operasi, Unit Perniagaan IT & Komunikasi Mitsui, Isao Kohiyama di majlis menandatangani kerjasama tersebut. [Gambar ihsan Axiata Group]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Nov - Mitsui & Co Ltd melabur AS$58 juta (RM275.67 juta) dalam Axiata Digital & Analytics Sdn Bhd (ADA) menerusi syarikat pegangan ADA, Axiata Digital Services Sdn Bhd (ADS).

 

Axiata Group Bhd dalam kenyataan media hari ini, berkata susulan pelaburan berkenaan, kepentingan Mitsui dalam ADS meningkat kepada 20% daripada 3.29%, manakala pegangannya dalam ADA sebanyak 12.69%.

 

Menurut Axiata, pelaburan tambahan Mitsui mempunyai nilai US$550 juta bagi ADA, mencerminkan pertumbuhan dan inovasi berterusan syarikat dalam domain transformasi digital dan data.

 

Konglomerat Jepun itu telah bekerjasama erat dengan ADS dan ADA sejak pelaburan awalnya pada 2019 dan sedang mempergiat usaha dalam penyampaian rumusan data dan kecerdasan buatan (AI) kepada rakan kongsi serta pelanggan di rantau Asia Pasifik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Urusan Kumpulan Axiata, Vivek Sood berkata kumpulan itu yakin usaha memperluas kerjasama strategik tersebut akan meningkatkan lagi kepakaran ADA dalam AI dan analisis data dengan keupayaan perniagaan Mitsui yang diperoleh daripada portfolio global.

"Ini merupakan langkah penting ke arah penjanaan nilai lebih besar dan bagi jangka panjang untuk pihak berkepentingan kami, serta memacu pertumbuhan berterusan dalam aspek ini.

 

“Oleh itu, ia akan membolehkan Axiata merebut peluang tambahan dalam bidang perniagaan digital selain meningkatkan tumpuan terhadap tonggak teras kami, sekali gus mencapai pertumbuhan mampan merentasi jejak geografi kami,” ujar beliau.

 

Sementara itu, wakil Pengarah dan Pegawai Urusan Eksekutif Kanan Mitsui, Toru Matsui berkata pelaburan tambahan dalam ADS akan mengukuhkan strategi pengurusan perhubungan pelanggan (CRM) syarikat untuk membangunkan kluster perniagaan pemasaran digital.

 

“Kami berharap dapat bekerjasama dengan Axiata, ADS dan ADA bagi menyumbang kepada pertumbuhan ADA dengan mempercepatkan penyediaan rumusan pemasaran digital dan perkhidmatan analisis data kepada rakan kongsi kami di seluruh rantau ini,” katanya. - DagangNews.com