MITI komited negara mampu capai KDNK 5.5% susulan pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MITI komited negara mampu capai KDNK 5.5% susulan pembukaan sempadan darat Malaysia-Singapura

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Mac - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) komited Malaysia mampu mencapai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 antara 5.5% dan 6.5% susulan pembukaan semula sempadan darat Malaysia-Singapura pada 1 April 2022.

 

MITI dalam satu kenyataan memaklumkan, penyambungan semula sepenuhnya perjalanan darat akan memangkin aktiviti perniagaan bukan sahaja memberi impak kepada industri pelancongan, tetapi juga untuk pemulihan ekonomi negara selepas COVID-19, seterusnya meningkatkan perdagangan luar dan pekerjaan.

 

Jelasnya, MITI memainkan peranan penting dalam memudahkan pergerakan tenaga kerja dan rakyat antara Malaysia dan Singapura yang terganggu akibat pandemik global. 

 

"Menyedari keperluan untuk mempercepatkan pembukaan semula sempadan, sebuah Jawatankuasa Pemandu Bersama yang dipengerusikan bersama oleh MITI dengan rakan sejawat Singapura telah ditubuhkan untuk berusaha ke arah meneruskan perjalanan sempadan darat secara beransur-ansur, selamat, sistematik dan mampan.

 

"Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) antara Malaysia dan Singapura dilancarkan pada 29 November 2021, telah memudahkan pergerakan merentas sempadan tanpa kuarantin dan lancar bagi hampir 125,000 pengembara dengan menyepadukan protokol kesihatan, keselamatan dan pelepasan imigresen yang mengakibatkan penyambungan semula secara beransur-ansur dan hubungan ekonomi dua hala yang penting dalam usaha memajukan pemulihan ekonomi negara," katanya.

 

Terdahulu, bermula 1 April 2022, Malaysia dan Singapura akan membenarkan semua pengembara yang lengkap vaksinasi untuk merentas sempadan darat tanpa perlu menjalani kuarantin atau melaksanakan ujian COVID-19, termasuk ujian pra-pelepasan dan semasa ketibaan.

 

Dalam kenyataan bersama selepas berhubung menerusi panggilan telefon semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong berkata, ia adalah terpakai ke atas semua kategori pengembara dan jenis pengangkutan darat.

 

MITI berkata, VTL ialah asas usaha masa depan untuk memudahkan perdagangan dan pelaburan sebagai pemulihan ekonomi. 

 

"Ia juga telah membolehkan pemulihan sosial dengan meneruskan atau mewujudkan semula mata pencarian serta menghubungkan semula mereka yang terpisah daripada orang tersayang.

 

"Perjalanan penuh penyambungan semula akan meningkatkan lagi perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Singapura ke arah pertumbuhan yang lebih rancak dan pemulihan ekonomi yang mampan kedua-dua negara," katanya. - DagangNews.com