KUALA LUMPUR 27 Mei - MIDF Research menyemak semula keuntungan YTL Corp. Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2022 (FY22) dengan penurunan 69% ekoran prestasi suku ketiga yang lemah.
Malah, firma itu juga mengurangkan unjuran keuntungan FY23 sebanyak 9%.
Semakan itu bagi mencerminkan prestasi yang lebih lemah daripada jangkaan bagi segmen utiliti, simen dan pembinaan pada suku ketiga berakhir 31 Mac 2022.
"Namun, kami menjangkakan keuntungan YTL Corp akan meningkat pada FY23, dipacu menerusi segmen utiliti (terutamanya Power Seraya).
"Selain itu, permintaan simen dan harga jualan purata (ASP) serta prospek perhotelan yang lebih baik berikutan peralihan kepada fasa endemik juga antara faktor yang menyokong pertumbuhan pada FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.
Pada suku ketiga itu, untung bersih YTL Corp meningkat kepada RM491.61 juta daripada RM22.43 juta bagi tempoh sama tahun lalu, terutamanya disumbangkan melalui keuntungan daripada pelupusan pegangan dalam ElectraNet Pty. LTd.
Bagi tempoh 9 bulan berakhir 31 Mac 2022, untung bersihnya meningkat kepada RM521.87 juta daripada RM39.82 juta, manakala pendapatan meningkat kepada RM18.09 bilion berbanding RM12.99 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' terhadap YTL Corp. dengan harga sasaran dinaikkan kepada 79 sen daripada 76 sen sebelum itu.
Firma itu berkata, YTL Corp. yang dilaporkan menyasarkan untuk meraih tender bagi projek MRT3, dilihat akan membantu meningkatkan nilai kontraknya.
Setakat 10.17 pagi ini, harga sahamanya menokok 0.5 sen atau 0.84% kepada 60 sen dengan 3.97 juta saham diniagakan. - DagangNews.com








