MDEC jalin kerjasama dengan UNGCMYB pacu kemampanan dalam ekonomi digital | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MDEC jalin kerjasama dengan UNGCMYB pacu kemampanan dalam ekonomi digital

KUALA LUMPUR 19 Julai - Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) memeterai memorandum persefahaman (MoU) dengan Rangkaian Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia dan Brunei (UNGCMYB) bagi meningkatkan kesedaran, membina kapasiti dan meningkatkan adaptasi kemampanan dan tindakan iklim merentasi perniagaan ekonomi digital.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz berkata, pendekatan awam-swasta ke arah menerajui tindakan kemampanan adalah penting dan telah dijadikan sebagai keutamaan dalam pembangunan negara seperti yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) iaitu selari dengan Agenda Pembangunan Mampan 2030 dalam Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs). 

 
Katanya, kemampanan bukanlah sesuatu perkara yang baharu malah ia merupakan matlamat penting yang berkembang seiring dengan pembangunan ekonomi digital. 

 

"Sebagai agensi peneraju dalam menjadikan Malaysia sebuah negara digital yang kompetitif di peringkat global, MDEC sangat komited dalam menggalakkan adaptasi amalan kemampanan dalam ekosistem ekonomi digital. 
 

“Perniagaan mungkin berdepan kesukaran untuk mengintegrasikan matlamat SDGs berkenaan, justeru, MoU ini merupakan sebahagian daripada usaha untuk menangani cabaran berkenaan dengan membantu menyediakan sumber dan bahan tindakan yang boleh diadaptasi oleh perniagaan untuk mencapai matlamat SDGs,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

 

 

MDEC
Naib Presiden Kanan Strategi dan Dasar MDEC, Dr Sumitra Nair (dari kanan) bersama Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz dan Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman antara kedua-dua pihak, hari ini.

 

 

MoU tersebut dibangunkan berdasarkan kerjasama sedia ada antara kedua-dua organisasi menerusi Laporan Kemampanan Perniagaan Pulse 2022, iaitu MDEC bertindak sebagai rakan kongsi. 

 

Laporan yang dilancarkan pada 14 Julai 2022 itu menyasarkan untuk memperoleh pemahaman tentang sejauh mana perniagaan di Malaysia bersedia dalam adaptasi, mengukur, mengurus dan memantau kemampanan organisasi masing-masing. 

 

UNGCMYB ialah rangkaian tempatan rasmi untuk Kompak Global Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGC), yang bertujuan untuk melaksanakan gerakan global untuk kemampanan syarikat dan pihak pemegang taruh. 

 

Ia berfungsi untuk membangkitkan, mengaktifkan dan mempercepatkan perniagaan Malaysia dan Brunei untuk menjadi lebih mampan dan menguntungkan.

 

Sementara itu, Pengarah Eksekutif UNGCMYB, Faroze Nadar berkata, ekonomi digital akan menjadi nadi kepada pembangunan global pada masa depan dan ia akan memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan pelaksanaan pembangunan yang mampan. 

 

“Menerusi kerjasama dengan MDEC, kami berhasrat untuk menjadikan ekosistem ekonomi digital Malaysia sebagai pemangkin kepada pembinaan negara yang mampan dan sebagai penyumbang global kepada pencapaian matlamat SDGs,” katanya. 

 

Selain itu, selaras dengan keutamaan kerajaan, MoU berkenaan akan menjadi platform negara untuk terus membina pertumbuhan ekonomi yang mampan serta inklusif kepada semua dan memastikan tiada siapa yang terpinggir. - DagangNews.com