MDEC bantu promosi Malaysia sebagai hab pelaburan digital di Asia Tenggara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

MDEC bantu promosi Malaysia sebagai hab pelaburan digital di Asia Tenggara

Sidang Kemuncak Pelaburan Digital Negeri 2022 dihadiri oleh IPA persekutuan dan negeri serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dari seluruh negara.

KUALA LUMPUR 25 April - Sidang Kemuncak Pelaburan Digital Negeri 2022 yang dianjurkan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dilihat dapat membantu mempromosi Malaysia sebagai hab pelaburan digital di Asia Tenggara.

 

Persidangan yang berlangsung pada 29 hingga 31 Mac itu mendapat sokongan daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Pejabat Pelaburan Digital (DIO), menerusi perkongsian serta penyelarasan Strategi Pelaburan Digital Nasional dengan setiap Agensi Promosi Pelaburan (IPA) negeri.

 

Matlamat utama persidangan tersebut ialah untuk mengukuhkan aspirasi pelaburan digital negara, nilai tawaran dan seterusnya mencipta pendekatan satu-negara khususnya memastikan sinergi serta kerjasama dalam memacu pelaburan digital ke Malaysia.

 

Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM), Datuk Seri Mohammad Mentek berkata, kementerian percaya bahawa ekosistem pelaburan digital yang mantap dan berkembang maju memerlukan sokongan semua pihak dari seluruh negara.

 

“Sidang Kemuncak Pelaburan Digital Negeri 2022 berperanan sebagai platform dalam memupuk kerjasama penting khususnya menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama dan merangsang pelaburan dengan membangunkan sektor-sektor utama baharu di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sidang Kemuncak Pelaburan Digital Negeri 2022 dihadiri oleh IPA persekutuan dan negeri serta Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dari seluruh negara.

 

Turut serta ialah agensi-agensi pelaburan yang mewakili setiap wilayah seperti Invest KL, Invest Selangor, Invest Penang, Invest Perak, Invest Johor, Invest Melaka, UPEN Pahang, Kelantan dan Terengganu, serta Invest Sabah dan Perbadanan Ekonomi Digital Sarawak (SDEC).

 

Persidangan ini menyediakan peluang kepada semua IPA terlibat untuk berkongsi dan membincangkan perancangan pelaburan wilayah masing-masing, menyediakan perancangan terperinci bagi cadangan nilai pelaburan digital setiap negeri dan bahagian tumpuan untuk diintegrasikan dengan strategi pelaburan negara, yang pada akhirnya akan memberi manfaat kepada seluruh negara.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Arham Abdul Rahman turut teruja apabila melihat IPA setiap negeri hadir secara aktif semasa sidang kemuncak ini dan seterusnya menunjukkan kepentingan dalam memupuk aspirasi pelaburan digital dalam kalangan IPA Malaysia.

 

Katanya, MIDA dengan kerjasama MDEC, telah berjaya menarik dan memudahkan pelabur dalam membawa pelaburan digital berkualiti tinggi melalui inisiatif DIO.

 

"Ia juga selaras dengan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital) dan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) dalam mentransformasikan kluster ekonomi baharu dan sedia ada ke arah menjadi pemboleh digital, mewujudkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan menggalakkan peningkatan kemahiran digital dalam kalangan tenaga kerja dan perniagaan tempatan,” katanya.

 

Selain itu, persidangan tersebut juga menampilkan sesi ucapan dan perbincangan oleh pihak berkuasa dan pakar pelaburan termasuk sesi perkongsian oleh Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Mahadhir Aziz, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Lim Bee Vian dan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital Corporation, Fabian Bigar.

 

Sementara itu, Mahadhir Aziz memaklumkan bahawa persidangan ini adalah selaras dengan aspirasi MDEC yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Malaysia Digital, iaitu mengembangkan pelaburan digital melangkaui lokasi yang ditetapkan untuk menjadikannya inisiatif untuk seluruh negara.

 

“Setiap IPA di Malaysia amat penting dalam memacu pelaburan digital ke Malaysia – bayangkan bagaimana kita boleh lakukannya menerusi kelebihan kerjasama dalam mengembangkan ekonomi digital Malaysia,” jelasnya.

 

Sehubungan itu, Sidang Kemuncak Pelaburan Digital Negeri 2022 diyakini akan mewujudkan platform yang ideal dalam meningkatkan kesan pengganda pelaburan, menyampaikan manfaat ekonomi berkualiti tinggi kepada negeri Tahap 2 dan seterusnya mempercepatkan kemajuan transformasi digital negara. - DagangNews.com