KUALA LUMPUR 24 Mac - Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini bagi membincangkan pembukaan sempadan Malaysia-Singapura pada 1 April 2022.
Onn Hafiz menerusi hantaran di Facebooknya berkata, beliau menzahirkan kesyukuran mengenai pertemuan tersebut.
''Syukur Alhamdulillah, berkat kesabaran bangsa Johor dan rakyat Malaysia selama lebih 20 bulan, akhirnya sempadan Johor-Singapura akan kembali dibuka pada 1 April 2022,'' katanya.
Sejajar dengan peralihan kehidupan fasa mendepani pandemik COVID-19, Kerajaan Malaysia dan Singapura bersetuju bahawa sudah tiba masanya untuk membuka sepenuhnya sempadan darat kedua-dua negara bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi.
Menurut beliau, ia pastinya akan menyumbang kepada usaha-usaha pemulihan negeri Johor yang memberi impak positif ke atas ekonomi dan kesejahteraan kehidupan rakyat.
''Mewakili Kerajaan Negeri Johor, saya menyambut baik dan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri Malaysia dan TYT Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Singapura, yang telah mengumumkan berita baik ini buat bangsa Johor dan rakyat Malaysia secara keseluruhan.
''Terima kasih juga buat YB Khairy Jamaluddin dan Dato’ Haji Hasni Mohammad, bekas Menteri Besar Johor yang banyak membantu dalam usaha pembukaan semula sempadan Johor-Singapura ini,'' ujarnya.
Onn berkata beliau akan berusaha memastikan segala persiapan di sempadan Johor-Singapura berada pada tahap yang baik dan mengambil kira isu kesesakan lalu lintas.
Semoga pembukaan sempadan ini akan menjadi lembaran baru bukan sahaja buat Malaysia dan Singapura, malah buat negeri Johor dengan Singapura.
''Saya berharap agar saya dapat berjumpa dengan pucuk pimpinan Singapura dalam masa terdekat bagi membincangkan hala tuju pembangunan negeri Johor dan Singapura untuk masa yang mendatang,'' katanya. - DagangNews.com








