KUALA LUMPUR 30 Jan - Maybank memperkenalkan ciri 'Kill Switch' melalui web Maybank2u (M2U) dan aplikasi MAE pada 28 Januari 2023 untuk meningkatkan lagi keselamatan serta memerangi penipuan dalam talian.
Ciri tersebut membenarkan pelanggan menyahaktifkan akses M2U mereka dengan segera hanya dengan satu klik mudah sekiranya mereka merasakan sesuatu yang pelik atau percaya bahawa mereka telah ditipu.
Ini dilakukan melalui penambahbaikan ciri keselamatan sedia ada dalam M2U yang mana bank secara berperingkat melancarkan lebih banyak langkah yang boleh membantu pelanggan meminimumkan kerugian mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank, Datuk John Chong berkata, pihaknya sentiasa komited untuk memastikan keselamatan dan sekuriti pelanggannya apabila perbankan dalam talian dan ini terbukti dengan peningkatan serta penambahbaikan kerap kepada sistemnya.
Beliau berkata, dengan pengenalan ciri ‘Kill Switch’, pelanggan kini boleh mengambil alih dan melindungi dana mereka secara proaktif daripada sebarang kejadian yang tidak diingini serta mengurangkan jumlah kerugian sebelum siasatan bank dan pihak berkuasa yang berkaitan selesai.
"Memandangkan bilangan penipuan dalam talian dilihat makin meningkat, kita perlu mengakui bahawa pencegahan penipuan adalah tanggungjawab semua orang dan bersama-sama kami berhasrat untuk membasminya.
"Bank hanya boleh berusaha untuk memperkenalkan pelbagai langkah keselamatan lanjutan untuk mencegah dan mengurangkan penipuan dalam talian, namun terpulang kepada pelanggan memainkan peranan melindungi diri secara berterusan dengan memastikan butiran perbankan peribadi disimpan selamat dan tidak pernah dikongsi dengan pihak ketiga, sama ada secara sedar atau tidak.

“Amalan terbaik mudah seperti mengingatkan dan mendidik ahli keluarga serta rakan taulan tentang kepentingan berwaspada, tidak menekan mana-mana pautan tidak diketahui atau asing akan sangat membantu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
‘Kill Switch’ boleh diaktifkan melalui web Maybank2u atau aplikasi MAE dan setelah diaktifkan, pelanggan akan di daftar keluar secara automatik daripada semua sesi dalam talian yang aktif pada aplikasi MAE serta aplikasi dan web M2U.
Atas faktor keselamatan, dalam tempoh penyahaktifan, pelanggan tidak akan dapat daftar masuk ke M2U dan pengaktifan semula hanya boleh dilakukan selepas pengesahan yang berjaya melalui cawangan atau Khidmat Pelanggan Kumpulan Maybank.
Ini juga akan menghalang scammer atau mana-mana pihak yang tidak dibenarkan daripada mengakses M2U atau aplikasi MAE menyebabkan aliran keluar dana selanjutnya.
Pelanggan masih boleh mengeluarkan wang tunai daripada ATM dan membuat pembelian menggunakan kad debit atau kredit Maybank mereka. Bagaimanapun, pengeluaran tunai tanpa kad dan tanpa sentuh tidak akan dibenarkan pada masa ini kerana ini memerlukan pelanggan untuk daftar masuk ke Maybank2u. - DagangNews.com








