KUALA LUMPUR 1 Sept - Maybank muncul bank pertama di negara ini yang mereka bentuk Rangka Kerja Produk Mampan (SPF) bagi menyokong komitmen kumpulan untuk ‘Memobilisasikan RM50 bilion dalam Pembiayaan Mampan menjelang 2025’.
Ia akan dilaksanakan di seluruh kumpulan merentasi produk Islam dan konvensional bermula hari ini.
Selaras dengan amalan terbaik yang diterima pakai oleh rakan global yang lain, rangka kerja ini meliputi produk yang ditawarkan di bawah pinjaman korporat, hutang dan pasaran modal ekuiti, pembiayaan perdagangan, pembiayaan runcit, insurans, pengurusan aset dan kekayaan, derivatif dan deposit.

Pengerusi Maybank, Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa berkata, kumpulan telah mengambil peranan kepimpinan dengan memperkenalkan rangka kerja sedemikian dalam perniagaannya untuk membolehkan produk dan penyelesaian direka bentuk berdasarkan kesediaan dan keperluan asas segmen pelanggan meliputi runcit, bukan runcit dan korporat besar.
“Ramai pelanggan kami berada pada tahap berbeza dalam perjalanan kemampanan mereka dan mahu menyokong mereka melalui perjalanan jangka panjang ini.
"Dengan kebolehan berterusan kami dalam memobilisasikan penyelesaian pembiayaan mampan bermula sejak setahun setengah yang lalu ditambah pula dengan pelancaran SPF, kami akan menilai lagi keupayaan untuk menyediakan pembiayaan lebih mampan dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelaksanaan rangka kerja itu dibuat selepas Maybank hampir mencapai sasaran pertengahan pembiayaan mampan RM50 bilion menjelang 2025.
Kumpulan perbankan itu telah memobilisasikan lebih daripada RM13.6 bilion dalam pembiayaan mampan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (FY21) dan RM10.3 bilion setakat 30 Jun 2022, sudah melebihi sasaran FY22 sebanyak RM9 bilion dalam pembiayaan mampan.
Lebih 80% daripada pembiayaan mampan pada separuh pertama 2022 yang dimobilisasi adalah dari Malaysia dan Singapura, dengan sebahagian besar pembiayaan korporat disasarkan ke sektor hartanah, infrastruktur dan tenaga boleh diperbaharui.
SPF akan diterima pakai kepada semua produk dan perkhidmatan kewangan yang menyepadukan kriteria alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam keputusan perniagaan atau pelaburan demi menjana hasil pembangunan mampan atau menyumbang secara positif kepada pencapaian matlamat Perjanjian Paris dan UN-SDG (Matlamat Pembangunan Mampan).

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli berkata, Maybank memahami tanggungjawab yang dipikulnya dalam penyaluran modal ke arah projek yang boleh membantu mewujudkan impak positif terhadap alam sekitar atau memacu agenda sosial positif.
“Sebagai institusi kewangan terkemuka di ASEAN dan sejajar dengan aspirasi kami untuk menjadi peneraju ESG serantau, kami ingin memacu pembiayaan mampan melalui operasi serantau kami dengan cara yang lebih bermakna dan berkesan.
"Ini telah membawa kami untuk membuat takrifan yang jelas mengenai aktiviti hijau, sosial dan peralihan untuk membimbing pasukan risiko, perniagaan dan jualan kami dalam menilai pembiayaan dan penyelesaian mampan yang layak," katanya. -DagangNews.com








