Maybank kembangkan operasi perbankan Islam ke Zamboanga, Filipina | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank kembangkan operasi perbankan Islam ke Zamboanga, Filipina

Cawangan Maybank di Maria Clara Lorenzo Lobregat Hwy, Zamboanga, selatan Filipina.
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 27 Ogos - Maybank mengembangkan operasi perbankan Islam menerusi Maybank Filipina (MPI) cawangan Zamboanga bagi memenuhi permintaan masyarakat Islam di selatan Filipina terhadap produk dan perkhidmatan patuh Syariah.

 

Data Banci 2020 menunjukkan 37.6% daripada jumlah penduduk Zamboanga City merupakan penduduk Muslim tertinggi di Mindanao, dengan jumlah penduduknya dijangka mencapai 1 juta antara tahun 2020 dan 2025.

 

Pelancaran operasi perbankan Islam itu diadakan pada 14 Ogos 2024 dan dihadiri oleh Duta Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino; Timbalan Pengarah Bangko Sentral ng Pilipinas (BSP) dan Kumpulan Penyeliaan Perbankan Islam, Atty. Noel P. Tianela; Timbalan Ketua Pengarah Eksekutif Maybank Islamic Berhad, Nor Shahrizan Sulaiman dan Pengarah Negara, Presiden, dan Ketua Pengarah Eksekutif MPI, Abigail Tina M. Del Rosario.

 

 

nnn
Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Abdul Malik Melvin Castelino (tiga dari kiri), Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Nor Shahrizan Sulaiman (empat dari kiri), Pengarah Negara Maybank Filipina, Abigail Tina M. Del Rosario (lima dari kiri) bersedia untuk memotong reben pada pelancaran tingkap Perbankan Islam di cawangan Maybank Zamboanga.

 

 

Nor Shahrizan dalam ucapannya berkata, dengan perkembangan produk perbankan Islam di Filipina iaitu negara yang bukan didominasi oleh masyarakat Muslim, ia menandakan satu lagi pencapaian Kumpulan di peringkat serantau.

 

"Kami komited dalam strategi dalaman kami bagi merealisasikan agenda perbankan Islam dengan memenuhi keperluan pelanggan serta mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju kewangan Islam dengan menumpukan kepada penyelesaian kewangan berasaskan Syariah di pasaran utama yang memberi nilai positif dalam komuniti dimana kami beroperasi,” ujar beliau. 

 

Beliau juga menekankan perbankan Islam menawarkan lebih daripada sistem kewangan alternatif, ia juga mencerminkan prinsip keadilan, ketelusan dan pelaburan beretika.

 

“Dengan menerapkan prinsip-prinsip ini, kami bukan sahaja memenuhi keperluan populasi yang pelbagai tetapi juga menetapkan duluan untuk ekosistem kewangan yang lebih adil. 

 

"Kami percaya bahawa sektor perbankan perlu mewujudkan rasa tujuan yang jelas untuk memenuhi keperluan dan kebimbangan masyarakat – seperti mempromosikan kewangan yang mampan dan memastikan akses inklusif kepada perkhidmatan kewangan. 

 

"Dengan itu, kita dapat merealisasikan potensi penuh kewangan positif bagi memajukan pembangunan sosial dan ekonomi,” ulas Nor Shahrizan dalam kenyataan di sini hari ini. 

 

Sementara itu, Abigail Tina M. Del Rosario berkata perkembangan itu merupakan pencapaian penting untuk Maybank di Filipina. 

 

"Pengenalan Perbankan Islam di negara ini bukan sekadar memperluaskan perkhidmatan tetapi menunjukkan komitmen kami terhadap keadilan, ketelusan dan kesejahteraan komuniti," ulasnya. 

 

Maybank Filipina kini mempunyai rangkaian 60 Cawangan, 15 Pusat Pinjaman, 9 Pusat Premier Wealth, 8 Cawangan Lite dan hampir 80 ATM di seluruh negara.- DagangNews.com