Maybank Islamic biayai inisiatif pertanian bandar bantu jana pendapatan golongan miskin | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank Islamic biayai inisiatif pertanian bandar bantu jana pendapatan golongan miskin

(Dari kiri) Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Universiti INCEIF, Datuk Dr Mohd Azmi Omar, Datuk Mohamed Rafique Merican menerima herba segar daripada Ketua Komuniti Pertanian Bandar Rinching, Mohamed Zalani Kamarudin (kanan).
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Feb - Maybank Islamic Bhd mengambil inisiatif membiayai projek pertanian bandar bagi membantu mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan kemiskinan yang dihadapi masyarakat di negara ini.

 

Untuk inisiatif tersebut, bank telah mengenal pasti empat tapak baharu di Selangor dan Kelantan bagi menjayakan pertanian bandar.

 

Selain itu, bank bekerjasama dengan Universiti INCEIF sejak 2021 menjalankan projek perintis dengan menyasarkan 60 golongan miskin bandar di Bandar Rinching, Semenyih dengan pelaburan minimum sebanyak RM90,000. 

 

Sebidang tanah kecil berkeluasan 800 kaki persegi, di kawasan perumahan di Seksyen 9, Bandar Rinching telah diubah menjadi kawasan akuaponik yang mana penternakan ikan memudahkan penanaman sayur-sayuran melalui hidroponik.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Datuk Mohamed Rafique Merican berkata, inisiatif ini secara khusus menyokong kelestarian ekonomi, sosial dan alam sekitar pertanian bandar.

 

Beliau berkata, pihaknya membangunkannya dengan kerjasama INCEIF sebagai bukti konsep untuk instrumen kewangan sosial Islam yang boleh membantu mengurangkan ketidaksamaan pendapatan dan kemiskinan.

 

“Kami percaya projek sebegini boleh memberi mereka yang berpendapatan rendah bukan sahaja peluang untuk belajar perkara baharu atau menggilap kemahiran tersembunyi tetapi pada masa yang sama membantu mereka menjana sumber tambahan pendapatan keluarga mereka dengan menjual lebihan hasil mereka. 

 

 

maybank

 

 

"Pertanian bandar yang mampan bukan sahaja membolehkan komuniti menanam makanan secara bebas tetapi ia berpotensi menyediakan peluang pekerjaan, keusahawanan dan perpaduan sosial," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Mohamed Rafique berkata, beliau berharap inisiatif ini akan berfungsi sebagai pemangkin dan membantu perniagaan kecil tempatan dalam mewujudkan laluan untuk semua orang terlibat dalam pertanian lestari.

 

"Mungkin pada masa hadapan kita boleh melihat lebih ramai anak muda mendalami perkara ini dan menjadi usahawan agroteknologi berjaya dan keluar daripada komuniti B40,” katanya.

 

Maybank Islamic kini memperuntukkan dana zakat sebanyak RM260,000 untuk mengembangkan program ini kepada fasa kedua yang akan memanfaatkan lebih 120 peserta di 2 tapak di negeri Kelantan dan dua lagi di Selangor. - DagangNews.com