Maybank IB kekal 'pegang' saham RCE Capital dengan harga sasaran RM1.75 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Maybank IB kekal 'pegang' saham RCE Capital dengan harga sasaran RM1.75

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 16 Feb - Maybank Investment Bank (IB) mengekalkan saranan 'pegang' terhadap RCE Capital Bhd. dengan harga sasaran tidak berubah pada RM1.75 sesaham selepas kumpulan kekal mencatat keuntungan pada suku ketiga.

 

Bagi suku berakhir 31 Disember 2022 itu, ia merekodkan untung bersih sebanyak RM35.2 juta dengan pendapatan berjumlah RM81.6 juta. 

 

Untuk tempoh kumulatif sembilan bulan, pendapatan RCE meningkat kepada RM241 juta terutamanya disumbangkan oleh yuran yang lebih tinggi dan pendapatan penyelesaian awal.

 

Ini menyaksikan kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan sebanyak 2.3% dalam keuntungan bersihnya sebanyak RM103.9 juta dalam tempoh kewangan semasa.

 

Menurut Maybank IB, RCE dijangka merekodkan keuntungan pada suku akan datang menyamai prestasi pada suku ketiga itu.

 

"Secara keseluruhan, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan pembiayaan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23) sebanyak 8%.

 

"Unjuran ini mengambil kira pertumbuhan pembiayaan yang meningkat pada suku keempat selepas penjawat awam menerima kenaikan gaji dan bonus," tambahnya.

 

Setakat 10.26 pagi, harga sahamnya susut 2 sen atau 1.08% kepada RM1.83 dengan 106,800 saham diniagakan. - DagangNews.com