Masteel kilang keluli bersepadu pertama tersenarai di Indeks FTSE4Good Bursa | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Masteel kilang keluli bersepadu pertama tersenarai di Indeks FTSE4Good Bursa

Oleh DIYANA ISAMUDIN

PETALING JAYA 31 Jan - Malaysia Steel Works (KL) Bhd (Masteel) menjadi kilang keluli bersepadu 'pelepasan karbon ultra rendah' pertama yang tersenarai di Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia.

 

Kumpulan tersebut telah membuat pelaburan lebih RM60 juta untuk pelbagai inisiatif pengurangan karbon dalam operasinya.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Sri Tai Hean Leng berkata, pencapaian itu adalah hasil dedikasi, visi dan kejayaan besar merevolusikan pembuatan keluli pada proses pembuatan teras.

 

“Kami telah melaburkan kira-kira RM60.66 juta menerusi pelbagai inisiatif pengurangan karbon untuk mencapai matlamat untuk mengurangkan pelepasan karbon kira-kira 7,300 tan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Beliau juga berkata, kumpulan itu mengurangkan lagi pelepasan karbon kepada 10% menjelang 2026 and 15% menjelang 2031.

 

Sementara itu, Hean Leng menambah, kumpulan itu akan mengembangkan sistem pemantauan pelepasan dari Skop 1 dan 2 dengan memasukkan Skop 3 untuk melaksanakan peningkatan secara berperingkat secara sistematik dan mampan.

 

Masteel juga telah memasang Sistem Pemantauan Pelepasan Berterusan di loji Bukit Raja, Klang pada 2021 yang mampu mengesan bahan zarah, pelepasan nitrogen dioksida dan sulfur dioksida pada masa nyata.

 

Kumpulan itu memperoleh tiga bintang daripada empat dalam penilaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) di kalangan syarikat tersenarai awam (PLC) dalam FBM EMAS, meletakkannya antara 26-50% PLC teratas yang dinilai oleh FTSE Russell.

 

Antara pencapaian lain, Masteel telah mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG) sebanyak 47% dari tahun asas 2017 hingga 2021 melalui teknologi pembuatan keluli baharu yang bermula pada 2018 untuk mengurangkan pelepasan dari proses pembuatan keluli di Skop 1.

 

Kumpulan tersebut juga telah mengambil inisiatif untuk mematuhi Pasukan Petugas mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Iklim (TCFD) termasuk menjalankan analisis senario iklim untuk tiga senario suhu berbeza mengikut keperluan global.

 

Masteel memasuki indeks F4GBM serta Indeks FTSE4GOOD Bursa Malaysia Shariah (F4GBMS), menjadikannya salah satu daripada 991 PLC di Malaysia yang memenuhi piawaian untuk menjadi komponen indeks FTSE Russell FTSE4GOOD. – DagangNews.com