KUALA LUMPUR 21 Feb - Untung bersih Supercomnet Technologies Bhd (Scomnet) menyusut 23.11% kepada RM6.09 juta pada suku keempat berakhir pada 31 Disember 2022 berbanding RM7.92 juta bagi tempoh yang sama pada tahun sebelumnya.
Pendapatan syarikat pembekal perkhidmatan dan peralatan penjagaan kesihatan itu juga menyusut 9.3% kepada RM37.35 juta daripada RM41.18 juta pada suku keempat itu.
Menurut Scomnet, hal tersebut disebabkan kelewatan daripada pembekal, pelarasan inventori daripada salah satu daripada pelanggan dan kadar pertukaran asing (forex) yang tidak menguntungkan.
Mengulas lanjut isu pembekal, Scomnet berkata, pihaknya tidak dapat memulakan pengeluaran salah satu produk baharu daripada pelanggan semata-mata kerana ia telah menerima produk rosak daripada pembekal yang diluluskan oleh pentadbiran makanan dan dadah (FDA).
Tambahnya, isu tersebut dijangka selesai menjelang suku kedua dan kumpulan itu juga berbincang dengan pembekal patuh FDA yang lain untuk memenuhi produk yang diperlukan itu.
Selain itu, terdapat pelarasan inventori selepas COVID-19 oleh salah seorang pelanggan utama Scomnet untuk produk Kabel Video Endoskopi yang digunakan dalam rawatan Covid.
Bagaimanapun, Scomnet masih mencatatkan lonjakan pada untung bersih kumpulan untuk tahun kewangan 2022 (FY22) sebanyak 30.89% kepada RM33 juta berbanding RM25.21 juta pada tahun sebelumnya.
Pendapatan kumpulan itu juga meningkat 10.24% kepada RM158.33 juta berbanding RM143.62 juta pada tahun sebelumnya.
“Trend ini dijangka berterusan berdasarkan nilai pesanan sedia ada dan produk dalam perancangan.
"Sektor automotif juga dijangka menyumbang kepada peningkatan pada tahun kewangan 2023 terutamanya bagi segmen tangki bahan api dan wayar,” katanya.
Tambahnya, aktiviti utama Scomnet termasuk pembuatan dan pemasangan peranti dan kabel perubatan, tangki bahan api automotif, wayar dan kabel untuk peralatan elektrik, elektronik pengguna dan pasaran automotif.
Pengarah Urusan Scomnet, James Shiue Jong-Zon berkata, selain pesanan sedia ada, aliran tunai kumpulan daripada operasi terus meningkat sepanjang suku tahun.
"Dari segi kewangan, kami mempunyai banyak penampan dan bersedia untuk mengembangkan perniagaan kami melalui saluran dalaman dan luaran,” tambahnya.
James juga berkata, kumpulan itu optimis dengan prospek jangka pertengahan hingga jangka panjang dan akan terus bekerjasama rapat dengan pelanggan sedia ada dan baharu dalam pembangunan produk baharu.
“Oleh itu, kecuali sebarang keadaan yang tidak diduga, kumpulan itu mengharapkan prestasi untuk seterusnya tahun kewangan menjadi memuaskan,” katanya. -DagangNews.com








